PDRM kemas kini aplikasi bayar saman

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

KUALA LUMPUR 16 April. – Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan menambah baik platform e-bayaran dan aplikasi MyBayar Saman bagi meningkatkan lagi keberkesanan kutipan saman.

Pengarah JSPT Ibu pejabat polis Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata sehingga semalam, 814,622 pengguna berdaftar direkodkan sejak aplikasi itu diperkenalkan pada 25 Mac lalu.

“Kita dalam proses kemas kini sistem, antaranya dengan memperkenalkan kutipan seperti pendaftaran daripada syarikat, warga asing dan had bayaran yang dikenakan terhadap individu,” katanya kepada Bernama.

Setakat ini MyBayar Saman adalah pembekal tunggal sistem pembayaran dalam talian untuk orang ramai membayar saman yang dikeluarkan oleh PDRM.

Azisman berkata PDRM merekodkan kutipan kompaun lebih RM89 juta daripada 803,739 saman yang dilunaskan orang ramai menerusi aplikasi MyBayar Saman selepas tawaran diskaun sehingga 50 peratus menerusi pendaftaran portal dan aplikasi mudah alih itu tamat semalam.

Pada 25 Mac lalu Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tawaran itu diberikan sempena sambutan Hari Polis ke-214 yang disambut dari 25 Mac hingga 11 April, dan ia kemudiannya dilanjutkan sehingga 15 April.

Semua jenis kompaun saman diberikan diskaun 50 peratus kecuali enam kesalahan utama iaitu memotong garisan kembar, memandu di lorong kecemasan, memandu melebihi had laju ditetapkan di lebuh raya, menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan tidak berhenti di lampu isyarat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

806
Kongsi :
Previous post PROMIS 7.0 medan gilap kepimpinan MPP
Next post Pengurus restoran didakwa kurung, takut dan cederakan warga India
Ubah saiz-+=