Peduli Insan gerak misi kemanusiaan salur bantuan mangsa gempa bumi di Syria dan Turkiye

Masa Membaca:2 Minit, 42 Saat

KUALA LUMPUR 15 Februari – Pertubuhan Peduli Insan Malaysia (Peduli Insan) berlepas ke Lubnan pagi ini bagi menggerakkan misi kemanusiaan bantuan kecemasan gempa Syria dan Turkiye dan serta misi kemanusiaan musim sejuk tiga negara.

Pasukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu akan berada di negara berkenaan bagi menyantuni dan mengedarkan bantuan kepada lebih 10,000 pelarian Syria yang menjadi pelarian di negara itu sebelum bertolak ke wilayah Gaziantep, Turkiye dan utara Syria bagi misi bantuan kecemasan gempa bumi.

Pengerusinya, Mohd Luqmanulhakim Mohd Redzuan berkata, perancangan untuk menjayakan misi kemanusiaan itu dirancang lebih sebulan lalu yang sebelum ini melibatkan bantuan musim sejuk tiga negara.

Bagaimanapun katanya, susulan kejadian gempa bumi melanda dua negara itu, pihaknya melancarkan misi bantuan kemanusiaan bencana itu serentak misi bantuan musim sejuk tiga negara.

“Pasukan Peduli Insan akan pergi ke Lubnan dahulu untuk memberikan bantuan musim sejuk di mana alatan seperti alat pemanas, bahan bakar, set pakaian musim sejuk, kotak makanan serta
makanan panas siap hidang akan diagihkan mengikut keadaan mereka dan keperluan mendesak ketika ini.

“Manakala bagi bantuan kecemasan gempa ini, fokus utama diberikan kepada rakyat Syria sendiri serta pelarian Syria yang berada di Turkiye selepas melihat bantuan dunia lebih tertumpu kepada Turkiye.

“Bagi tujuan penyelarasan dan koordinasi bantuan yang diperlukan, Peduli Insan akan melihat rencana keperluan daripada Kementerian Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD),” katanya dalam satu kenyataan di sini.

KLIA_1
Pengerusi Pertubuhan Peduli Insan Malaysia, Mohd Luqmanulhakim Mohd Redzuan

Mengulas lanjut, Mohd Luqmanulhakim berkata, Peduli Insan telah mengeluarkan dana kecemasan awal berjumlah RM250,000 bagi kegunaan segera dalam memberi bantuan kepada mangsa gempa di Syria dan Turkiye bermula hari pertama berlakunya bencana ini.

“Setakat ini kami menerusi pasukan di pejabat Peduli Insan di Syria dan Turkiye telah mengedarkan bantuan dari segi sokongan peralatan mencari dan menyelamat (SAR), makanan panas siap hidang, selain daripada agihan bantuan musim sejuk berbentuk set pakaian musim sejuk, selimut tebal serta sokongan perubatan dan pemulihan trauma kepada kanak-kanak yang keseluruhan dana yang dimanfaatkan adalah melebihi RM600,000.

“Jumlah itu disalurkan melalui penyediaan 10,000 makanan panas yang diusahakan sendiri melalui dapur Peduli Insan di Azaz, Syria serta 14,000 liter diesel bagi kegunaan alatan pemanas di masjid-masjid yang menempatkan mangsa gempa bumi; 11,950 set pakaian musim sejuk serta 2,000 selimut tebal.

“Kami juga sedar tentang trauma yang dihadapi oleh kanak-kanak terutamanya apabila berlaku bencana seperti ini, dan pasukan kami telah memberikan sokongan pemulihan trauma kepada
865 kanak-kanak melalui permainan, gula-gula serta coklat dan juga program penceritaan buku kanak-kanak bagi memastikan mereka dapat berada di dalam keadaan tenang.”

Pengarah Jabatan Projek Peduli Insan, Azfar Abdullah turut memaklumkan pasukan itu memberi fokus bantuan terhadap kanak-kanak yang terkesan akibat bencana itu dan memberi bantuan berbentuk lampin bayi, susu formula untuk bayi kepada lebih 200 keluarga yang mempunyai bayi serta anak kecil.

Justeru itu, katanya orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan bagi bantuan kecemasan gempa bumi Syria Turkiye boleh membuat sumbangan menerusi akaun rasmi Bank Islam Pertubuhan Peduli Insan Malaysia bernombor akaun 07043011062082 atau menerusi www.peduliinsan.org.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan penjelasan lanjut mengenai Kempen Bantuan Kecemasan Syria Turkiye boleh hubungi talian Peduli Insan melalui nombor 0133968840.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1604
Kongsi :
Previous post Pencerobohan nelayan asing, kemasukan pekerja asing antara tumpuan Parlimen hari ini
Next post Mangsa tikam Hospital Selayang diberi rawatan terbaik – Dr Zaliha
Ubah saiz-+=