Pegawai kanan kerajaan dan ahli perniagaan didakwa kemuka tuntutan palsu RM15,000

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

SEREMBAN 30 Julai – Seorang pegawai kanan agensi kerajaan dan ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM15,000, lima tahun lalu.

Penolong Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Putrajaya, Haslin Abdul Razak, 46, dan Mohd Irwan Redzuan Abdullah, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan, Haslin ketika itu sebagai Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Negeri Sembilan/Melaka dan Mohd Irwan didakwa dengan niat bersama telah mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM15,000 bagi pembekalan makan minum sempena Majlis Ramah Mesra Pengarah Jakoa bersama Penduduk Orang Asli Bukit Payung, Alor Gajah, Melaka, yang tidak dilaksanakan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Jakoa Negeri Sembilan/Melaka, di Wisma Persekutuan, Jalan Datuk Abdul Kadir dekat Seremban, pada 6 Dis 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan memerintahkan mereka melaporkan diri pada setiap bulan di Pejabat SPRM Seremban, Negeri Sembilan serta 24 Sept ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala wanita itu diwakili peguam Marisa Regina Mohd Aris Rizal dan Mohd Irwan tidak diwakili peguam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

549
Kongsi :
Previous post Perintah pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan berbeza dengan Proklamasi Darurat
Next post BN, UMNO tetap sokong kerajaan sedia ada- Hishammuddin
Ubah saiz-+=