Pegawai PBT Melaka didakwa guna dokumen palsu

Masa Membaca:58 Saat

MELAKA, 19 Nov – Seorang pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu, tiga tahun lepas.

Hafizawati Ahmad, 35, sebagai Pengarah Jabatan Pelesenan, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) ketika kejadian, didakwa dengan tidak jujur menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen, iaitu Minit Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan dan Perniagaan, di mana tertuduh mengetahui dokumen itu adalah palsu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jabatan Pelesenan, MPHTJ, Ayer Keroh, pada 10 April 2017, mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin membenarkan Hafizawati diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan, tertuduh perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka setiap bulan, selain pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak berkomunikasi dengan mana-mana saksi sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 24 Dis depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irwan Shah Abdul Samat dan Pegawai Pendakwa SPRM Nur Syakila Yaacob, manakala tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Strok.- BERNAMA

Views:

618
Kongsi :
Previous post Nasib si pengayuh beca
Next post Terima 650,000 permohonan moratorium bersasar
Ubah saiz-+=