Pegawai SPRM, Datuk Roy didakwa rasuah RM640,000 supaya anak Muhyiddin tidak direman

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

KUALA LUMPUR, 25 Mei – Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ahli perniagaan dikenali sebagai ‘Datuk Roy’ dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM640,000 supaya anak bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak direman SPRM.

Mohd Rasyidi Mohd Said, 43, dan Datuk Roy atau nama sebenarnya Mohd Hussein Mohd Nasir, 54, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

โ€œFaham Yang Arif, mengaku tidak bersalah,โ€ kata kedua-dua tertuduh kepada Hakim Azura Alwi.

Mereka didakwa bersama-sama secara rasuah meminta untuk diri mereka atau bagi mana-mana orang lain suatu suapan wang tunai berjumlah RM400,000 daripada Siti Dalena Berhan, 47, sebagai dorongan untuk tidak menahan reman Datuk Fakhri Yassin Mahiaddin semasa siasatan pihak SPRM.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Bangsar, di sini, antara 9 dan 11 malam, 5 Mac lalu.

Mereka juga didakwa menerima suapan untuk diri mereka atau bagi mana-mana orang lain iaitu wang tunai berjumlah RM240,000 daripada Syed Farid Syed Al Attas, 41, sebagai dorongan untuk tidak menahan reman individu sama semasa siasatan pihak SPRM.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Desa Sri Hartamas, di sini, antara jam 2 dan 4 petang, 6 Mac lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di hadapan Hakim Suzana Hussin, Mohd Hussien turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan meminta rasuah wang berjumlah RM2 juta untuk dirinya daripada Siti Dalena dan Syed Farid.

Ia sebagai dorongan untuk menukarkan pertuduhan yang lebih ringan, menukar keterangan tertuduh kepada saksi, dan mengurangkan wang jaminan terhadap kes pendakwaan yang dihadapi oleh ahli perniagaan Adam Radlan Adam Muhammad.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Kampung Melayu Kepong, di sini, pada Februari 2023 dan pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1631
Kongsi :
Previous post HAWANA: Sultan Nazrin Shah perkenan wartawan baca khutbah Jumaat esok
Next post Notifikasi produk kosmetik Clemira Care Cream dibatalkan
Ubah saiz-+=