HAWANA: Sultan Nazrin Shah perkenan wartawan baca khutbah Jumaat esok

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

IPOH, 25 Mei – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah memperkenankan pengamal media di negeri ini diberi penghormatan membaca khutbah Jumaat di beberapa masjid di Perak esok, bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA).

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Tan Sri Mohd Annuar Zaini dalam kenyataan berkata ia bagi mengiktiraf peranan penting golongan itu kepada negara.

“Baginda telah menitahkan supaya khutbah Jumaat di negeri Perak pada 26 Mei (esok) bertemakan ‘Kewartawanan: Menyempurnakan Tugas Berlandaskan Nilai-nilai Islam’. Baginda turut memperkenankan para pengamal media diberikan penghormatan membaca khutbah Jumaat di masjid-masjid di negeri Perak pada 26 Mei (esok),” katanya.

Mohd Annuar berkata Jabatan Penyiaran Negeri Perak dan Persatuan Pengamal Media Perak telah mengemukakan tiga nama pengamal media kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk mendapat tauliah sementara membaca khutbah di tiga masjid di negeri itu.

“Sultan Nazrin Shah turut memberi perkenan kepada Editor Rencana Agama dan Sastera Berita Harian Mohd Nazmi Yaacob untuk membaca khutbah Jumaat di Masjid Negeri (Masjid Sultan Idris Shah II), esok.

“Wartawan Sinar Harian Perak Saifullah Ahmad pula akan membaca khutbah di Masjid Sultan Azlan Shah Ipoh dan Penerbit Rancangan RTM Perak Mohd Fahmi Mohd Nor akan menyampaikan khutbah di Masjid Muhibbuddin Shah Ipoh,” katanya.

Sambutan HAWANA 2023 akan diadakan di Ipoh dari 27 hingga 29 Mei ini dengan mengangkat tema “Media Bebas, Tunjang Demokrasi” untuk memberi penekanan semula terhadap isu kebebasan media dalam menjalankan tugas mereka.

Majlis Kemuncak HAWANA 2023 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Mei.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1033
Kongsi :
Previous post Pemuda maut, motosikal bergesel
Next post Pegawai SPRM, Datuk Roy didakwa rasuah RM640,000 supaya anak Muhyiddin tidak direman
Ubah saiz-+=