Peka di musim banjir

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER MOLEK 22 Nov. – Ibu bapa dinasihati agar lebih peka sepanjang musim banjir bagi mengelakkan berlakunya sebarang kejadian tidak diingini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, pergerakan anak-anak antara yang perlu diberi perhatian dan tidak membiarkan anak bermain air banjir yang dikhuatiri boleh mengundang insiden lemas.

Selain itu, katanya, penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) juga perlu memastikan rumah sentiasa dikunci dengan baik untuk mengelakkan berlakunya sebarang kes kecurian.

“Dalam musim banjir ini yang pertamanya tolonglah awasi anak-anak kerana kadang-kadang kita tidak perasan sekejap sahaja tengok anak dah tak ada.

“Jadi, dalam musim ini ibu bapa harus memberikan lebih perhatian kepada anak-anak untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Selain itu, saya juga berharap keluarga yang terkesan dan dipindahkan ke PPS untuk lebih berhati-hati agar tidak berlaku kecurian barangan yang ditinggalkan di rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke PPS pertama dibuka di Melaka Tengah iaitu di Sekolah Kebangsaan Ayer Molek.

Selain PPS, Sulaiman turut mengadakan lawatan ke kawasan perumahan di Taman Tuah Perdana, Bukit Katil yang pertama kali dinaiki air dalam kejadian yang berlaku tengah hari semalam.

Sulaiman menzahirkan harapan agar projek tebatan banjir dapat dilaksanakan segera bagi mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di negeri ini.

Untuk rekod, setakat jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 399 penduduk di negeri ini terjejas banjir mengikut data yang dikeluarkan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Melaka.

Views:

570
Kongsi :
Previous post Takziah buat keluarga Aishahton
Next post Mangsa banjir Melaka meningkat
Ubah saiz-+=