Peka nasib petani, penternak terkesan banjir

TABOH NANING 14 November – Jabatan Pertanian perlu peka dengan petani dan penternak yang terkesan banjir hingga menjejaskan pendapatan golongan itu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, pihaknya menyeru kepada seluruh Jabatan Pertanian seluruh negara agar perlu bertindak proaktif bagi memastikan kebajikan petani dan penternak itu terbela.

Menurutnya, jabatan itu perlu mengambil tindakan pantas bagi mengumpul segala maklumat dan menjalankan pemantauan berterusan bagi menilai kerosakan dan kerugian dialami golongan berkenaan agar bantuan segera mampu disalurkan.

“Kepada mana-mana petani di negeri yang terjejas banjir termasuk di Melaka perlu segera berhubung dengan pegawai pertanian agar tindakan susulan dapat dilaksanakan.

“Kita juga telah aktifkan Bilik Gerakan MAFI di seluruh negara bagi membantu mangsa banjir terutamanya golongan petani, nelayan dan penternak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Semarak Kasih Peladang di Kompleks Japerun Taboh Naning, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning, Zulkiflee Mohd Zin serta kenamaan lain.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, bagi mengurangkan isu banjir yang akan mendatangkan kerugian kepada kawasan pertanian, pihaknya turut menyeru Jabatan Pertanian untuk melaksanakan penyelenggaraan segera.

“Bagi kawasan jelapang padi, kita telah mengarahkan agar penyelenggaraan dilakukan ke atas semua tali air, sistem pengairan dan saliran supaya tidak ada masalah yang menyebabkan banjir.

“Begitu juga mesin-mesin dan pam kerana sampai masa jika tidak diselenggara, nanti rosak. Kita mahu bila masuk musim semuanya boleh beroperasi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2092
Previous post Subjek pendidikan politik perlu diwujudkan di sekolah – Qi Yao
Next post PRU15: Pengundi awal tunai tanggungjawab hari ini