Pekak tidak halang atlet kelahiran Klebang gegar dunia

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER KEROH 11 Jun – Atlet Orang Kurang Upaya (OKU) Pekak Badminton Negeri Melaka, Boon Wei Ying, 28, mengharumkan nama Negeri Melaka selepas menyumbang tiga pingat pada Deaflympics 2022, Brazil, tahun lalu.

Ia selepas atlet kelahiran Klebang itu membawa pulang satu pingat emas (beregu wanita), satu pingat perak (beregu campuran) dan satu pingat gangsa (perseorangan wanita) pada kejohanan tersebut.

Kejayaan itu melayakkan dia menerima insentif penghargaan daripada Kerajaan Negeri berjumlah RM60,000.

Bercerita tentang perjalanan kariernya, Wei Ying berkata, dia mula jatuh cinta pada sukan badminton seawal usia sembilan tahun iaitu ketika di bangku sekolah.

“Daripada minat sebagai hobi, saya telah dipanggil mewakili Melaka pada umur 11 tahun dalam pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dalam kategori normal, tetapi ketika itu saya tidak meraih sebarang pingat.

“Namun, ia tidak menyebabkan saya berputus asa, sebaliknya terus bekerja keras dan hasilnya saya berjaya mengharumkan nama negara dan Melaka di Brazil sekali gus membuktikan kekurangan bukan penghalang untuk meraih kejayaan.

“Terima kasih dengan insentif ini kerana ia terbukti menunjukkan Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka menghargai usaha kami para atlet untuk berjaya dalam lebih banyak kejohanan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima insentif berkenaan pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan SEA Ke-32 Kemboja 2023 Insentif Atlet Para Sukma Ke-20 MSN 2022 dan Insentif Atlet Deaflympics 2022, Brazil di sebuah hotel di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman mewakil Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan NGO negeri VP Shanmugam; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh; Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka, Mohd Asri Ninggal dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka Khairul Adri Rosli.

Wei Ying berkata, selepas ini, dia dijadual menyertai World Championship di Brazil pada Julai depan dan berharap kejohanan itu dapat membantunya meraih lebih banyak kejayaan demi negara dan Negeri Melaka.

Pada masa sama, dia turut menyuarakan harapan agar lebih banyak pihak tampil menaja atlet dari Persatuan Sukan Pekak Malaysia dalam membantu pembangunan dan pencapaian cemerlang atlet pekak pada masa akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7227
Kongsi :
Previous post ‘Jurassic World’ di Ayer Keroh
Next post Pemilik premis dinasihat jaga kebersihan
Ubah saiz-+=