Pekerja asing kilang proses makanan diarah berpindah ke asrama selesa

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

MASJID TANAH 16 Mac – Pemilik sebuah kilang pemprosesan makanan di Taman Perindustrian Masjid Tanah, di sini, diarahkan memindahkan 252 pekerjanya ke tempat penginapan lebih selesa berikutan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengesan keadaan di asrama di situ kotor dan berbau busuk.

Penemuan itu hasil operasi bersepadu JTK dalam memastikan majikan mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) serta prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 di rumah penginapan pekerja warga asing.

Operasi selama tiga jam itu turut disertai Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) bermula 8.30 pagi.

ISMAIL…arahkan majikan kilang memproses makanan pindahkan segera semua pekerja ke penginapan lebih selesa.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Wira Ar. Ismail Othman berkata, berdasarkan pemeriksaan pihaknya mendapati premis itu menggunakan 16 unit rumah kedai bagi menempatkan 252 pekerja asing.

Bagaimanapun, majikan terbabit didapati gagal mematuhi Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 berikutan premis itu tidak mempunyai sistem pengudaraan dan pencahayaan yang baik selain terdapat penggunaan bahan mudah terbakar di bahagian dapur.

KEADAAN tandas asrama pekerja kilang pemprosesan makanan yang kotor dan tidak selesa dikesan dalam operasi pematuhan yang dilakukan di Taman Perindustrian Masjid Tanah, Alor Gajah, Melaka hari ini.

“Berikutan itu, saya minta Pengarah JTK negeri mengarahkan majikan memindahkan semua pekerja berkenaan ke penempatan yang lebih selesa di Asrama Pekerja MyEg, di sini.

“Dalam pemeriksaan itu, ada beberapa kemudahan tidak dipatuhi termasuk sistem pengudaraan yang agak tersumbat sebab itu rasa agak sesak dan berbau selain tandas yang kotor dan ruang masak tidak sistematik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi berkenaan.

KEADAAN bilik asrama pekerja kilang pemprosesan makanan yang tidak teratur dan kotor.

Hadir sama, Pengarah JTK negeri, Rosli Jantan dan Pengarah JKKP, Dr Rabaayah Daud dan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Abd Razak Omar.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya majikan premis berkenaan gagal memindahkan pekerja ke asrama pekerja MyEg, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 24D Akta 446 itu.

“Di asrama pekerja MyEg lebih selesa, yang mana setiap unit boleh menempatkan enam pekerja serta mempunyai ruang tamu, tandas dan dapur yang lebih selesa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1735
Kongsi :
Previous post Melaka meterai perjanjian pembangunan RM800 juta
Next post Pantai Cermin tidak ‘nazak’
Ubah saiz-+=