Pantai Cermin tidak ‘nazak’

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

TANJUNG TUAN 16 Mac – Kerajaan negeri menyangkal dakwaan situasi terkini Pantai Cermin hampir ‘nazak’ kesan pencemaran akibat tumpahan minyak berlaku pada Oktober lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abdul Ghafar Atan berkata, bagaimanapun mengakui pantai peranginan terbabit kini dalam proses pemulihan dan mengambil masa untuk dipulihkan sepenuhnya.

Jelasnya, sehingga kini kerja-kerja pengawasan dan pemulihan pantai giat dijalankan oleh semua agensi terbabit termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Laut Malaysia (JLM) serta pelbagai agensi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain.

“Kebiasaannya kejadian tumpahan minyak seperti ini akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun bagi pemulihan dengan kajian yang akan dilakukan.

“Malah, kita dapati Jabatan Perhutanan Melaka juga sudah bersiap sedia bagi memasukkan kawasan paya bakau di Pantai Cermin yang tercemar di bawah Program Kempen Penanaman Bakau dan Spesies Bersesuaian dengan menyasarkan 100 juta pokok di seluruh negara.

“Kerajaan negeri sedang mengatasi masalah ini bagi memperhalusi setiap tindakan yang perlu diambil pada masa akan datang,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Lawatan Kerjanya di Pantai Cermin, Tanjung Tuan, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah JAS Melaka, Rosli Othman berkata, hasil bacaan Indeks Kualiti Air di kawasan itu berada pada tahap satu dengan bacaan dikelaskan sebagai ‘dalam keadaan semula jadi’.

“Kita mendapati tiada hidupan yang terjejas di kawasan sekitar Pantai Cermin dan penguatkuasaan serta pemantauan turut dilaksanakan berterusan oleh semua pihak berkaitan bagi memastikan ia kekal selamat,” katanya.

Beliau berkata, susulan insiden tumpahan minyak itu, pihaknya telah menjalankan siasatan dan menemukan enam sampel dari empat kapal yang disyaki terlibat dalam kegiatan itu.

Menurutnya, hasil ujian makmal telah melaksanakan pengecaman cap jari bagaimanapun tidak menemukan bukti kukuh bagi mendakwa beberapa kapal terlibat dalam insiden itu.

“Kita telah menjejaki sampel cap jari dari tiga kawasan berbeza iaitu laut, pesisir pantai dan di atas kapal, namun tidak dapat membuktikan sampel minyak yang dibuang kerana ia tidak sepadan.

“Kita dapati kejadian ini berlaku dengan licik sekali sehingga tidak mampu menjejakinya (si pelaku) dan mendapati ketika kejadian terdapat kira kira 20 kapal berlabuh di sekitar perairan itu,” katanya.

Terdahulu, sebuah akhbar tempatan melaporkan paya bakau yang menjadi penampan penting hakisan pantai di situ berada dalam situasi nazak dan dijangka bakal lenyap selepas insiden tumpahan minyak dari Selat Melaka sukar dibersihkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

747
Kongsi :
Previous post Pekerja asing kilang proses makanan diarah berpindah ke asrama selesa
Next post SPRM tahan 10 individu termasuk lapan penguat kuasa JPJ di Kedah
Ubah saiz-+=