Melaka meterai perjanjian pembangunan RM800 juta

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

SERI NEGERI 16 Mac – Kerajaan negeri memeterai perjanjian usahasama dengan Syarikat Parkland Avenue Sdn. Bhd. bagi cadangan projek pembangunan bercampur melibatkan kawasan konsesi seluas 6.53 hektar bernilai RM800 juta di daerah Melaka Tengah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, Nilai Pembangunan Kasar (GDV) projek itu melibatkan kos RM800 juta untuk pembangunan projek perumahan pelbagai jenis termasuk banglo, rumah berkembar, kondominium bertaraf sederhana dan tinggi.

“Kerja-kerja pembangunan yang dirancang meliputi penyediaan infrastruktur rizab jalan, parit dan lain-lain di kawasan konsesi.

“Projek pembangunan ini bakal memberi impak positif sekali gus membawa limpahan ekonomi bukan saja kepada Negeri Melaka khususnya, malah kepada Malaysia amnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama antara Kerajaan Negeri Melaka dan Parkland Avenue Sdn. Bhd. di Seri Negeri hari ini.

SULAIMAN menerima lukisan projek pembangunan bercampur melibatkan kawasan konsesi di daerah Melaka Tengah bernilai RM800 juta daripada See Sen.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Hasim Hasan, Pegawai Kewangan Negeri Melaka, Datuk Zaidi Johari dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka (Pembangunan), Datuk Salhah Salleh.

Pada majlis itu, Syarikat Parkland Avenue Sdn. Bhd diwakili Pengarah Urusan, Tan See Sen serta Pengarahnya, Tee Kai Loon.

Jelas Sulaiman, dengan termeterainya perjanjian itu, kerajaan negeri telah menerima bayaran balasan lebih RM1.3 juta.

“Ia meliputi fi komitmen (RM100,000), ‘earnest money’ (RM492,140), royalti pasir (RM351,529) dan pembangunan Kerajaan Negeri Melaka (RM432,229).

“Fi komitmen sebanyak RM100,000 telah dijelaskan syarikat Parkland pada tarikh sebelum menandatangani perjanjian ini dan pihak Parkland telahpun mengemukakan bayaran lebih RM1.2 juta kepada kerajaan negeri sebelum perjanjian melalui draf bank,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

802
Kongsi :
Previous post Kerajaan rancang wujudkan PPV skala besar untuk fasa ketiga vaksinasi
Next post Pekerja asing kilang proses makanan diarah berpindah ke asrama selesa
Ubah saiz-+=