Sorting by

×

Pekerja ladang tinggal di rumah kongsi seakan ‘reban ayam’

Masa Membaca:2 Minit, 16 Saat

KUALA LINGGI 26 Mei – Tempat tinggal 27 pekerja Myanmar di ladang penternakan ayam telur dalam ladang kelapa sawit di Ayer Molek, Kuala Sungai Baru, dekat sini, bukan sahaja kotor dan tidak terurus, malah turut dilihat amat menyedihkan.

Bagaimanapun, mereka tiada pilihan dan terpaksa menghuni rumah kongsi berkenaan demi sesuap nasi dan wang untuk dikirim kepada keluarga di negara asal.

Perkara itu bukan setakat memeranjatkan EXCO Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem, malah menyedihkannya yang menyifatkan keadaan itu sebagai ‘tidak boleh dimaafkan.’

Selain katil yang tiada berlapik tilam, rumah kongsi pekerja terbabit yang diperbuat daripada batu konkrit tidak dilengkapi almari pakaian, apatah lagi kelengkapan asas yang lain, terutama dapur dan tandas yang sempurna.

Lebih mengejutkan, ada beberapa pekerja asing ditempatkan dalam sebuah pondok diperbuat daripada papan yang jika sekali pandang tidak ubah seperti reban ayam.

Hee Sam dalam sidang medianya mengakui terkejut apabila menyaksikan dengan mata kepala sendiri keadaan sedemikian ketika menyertai ‘Ops Rumah Pekerja’ hari ini.

Pegawai JTK meneliti tempat tinggal pekerja asing yang menyedihkan di ladang penternakan ayam telur dalam ladang kelapa sawit di Ayer Molek, Masjid Tanah.

“Ops ini dijalankan bagi memastikan majikan menyediakan penginapan yang baik untuk pekerja mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dan Akta Kerja 1955.

“Keadaan di rumah kongsi di sini amat menyedihkan dan saya sudah meminta Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mangambil tindakan undang-undang ke atas majikan,” katanya pada sidang media di lokasi operasi itu.

Hadir sama, Penolong Pengarah Kanan JTK, Hafizah Nabilah Mohd Idris dan Pengarah JKKP, Rabaayah Daud serta pegawai PERKESO.

Hee Sam berkata, selain kesalahan berkenaan, majikan juga gagal mencarum tiga pekerjanya dalam PERKESO dan tindakan undang-undang akan turut diambil.

Sementara itu, Hafizah berkata, pegawai JTK sudah memberi amaran kepada majikan ketika meneliti keadaan tempat tinggal pekerja pada Februari lalu.

“Bagaimanapun, tiada sebarang pembaikan yang dilakukan majikan, sebaliknya pihak pengurusan syarikat memberi alasan rumah kongsi itu bukan tempat tinggal pekerja.

“Mereka mendakwa ia hanyalah tempat rehat manakala rumah kongsi ada disediakan di kawasan lain tetapi pekerja asing masih belum dipindahkan,” katanya.

Beginilah keadaan dapur pekerja asing yang menyedihkan di ladang penternakan ayam telur.

Beliau menjelaskan, kertas siasatan sudah dibuka mengikut akta berkenaan sebelum dirujukkan kepada bahagian pendakwaan JTK dan keputusan akan dibuat sama ada mengenakan kompaun atan mendakwa majikan terbabit di mahkamah tidak lama lagi.

Rabaayah berkata, JKKP turut membuka kertas siasatan dan bakal memutuskan sama ada mengenakan kompaun atau mendakwa majikan berikutan kegagalan mematuhi peraturan berkaitan penjagaan keselamatan dan kesihatan pekerja.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1902
Kongsi :
Previous post Malaysia yakin IPEF platform perkukuhkan kerjasama di Indo-Pasifik – Ismail Sabri
Next post Polis tingkat kawalan ekoran insiden letupan, tembakan di Tak Bai
Ubah saiz-+=