Pelaburan Infineon berjumlah RM25 bilion komitmen Malaysia pupuk ekonomi inklusif – MIDA

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Pelaburan terbaharu Infineon Technologies AG mencerminkan komitmen negara untuk memupuk ekonomi inklusif dan bertenaga, menjana pelbagai peluang untuk bakat tempatan dan rantaian bekalan industri, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Susulan pencapaian pencapaian Infineon Technologies itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Wira Arham Abdul Rahman menegaskan komitmen agensi itu untuk memudahkan penggiat industri termasuk Infineon Technologies AG untuk memupuk pertumbuhan seterusnya dalam industri elektrik dan elektronik (E&E).

“Pencapaian Infineon Technologies di Malaysia merupakan satu kebanggaan besar bagi MIDA. Operasi pembuatan termaju syarikat dan pengembangan berterusan di negara ini bersama-sama dengan penggunaan keupayaan digital baharu adalah pencapaian sangat membanggakan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Menyedari penyahkarbonan akan memacu pertumbuhan pesat semikonduktor tenaga khususnya yang berasaskan bahan jurang jalur lebar, Infineon, peneraju dalam Sistem Tenaga, kini mengambil langkah seterusnya untuk membentuk industri dengan mengembangkan dengan ketara fabrikasi wafer di Kulim, Kedah, melebihi pelaburan asal yang diumumkan pada Februari 2022.

Syarikat itu pada Khamis melancarkan rancangannya untuk membina fabrikasi tenaga SiC (silikon karbida) 200mm terbesar di dunia.

Ia akan melakukan pelaburan tambahan sehingga lima bilion euro (1 euro=RM4.99) dalam tempoh lima tahun akan datang di Kulim dalam fasa kedua pembinaan modul tiga.

“Pelaburan tambahan Infineon ini melengkapkan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dan tumpuan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 untuk menarik pelaburan berteknologi tinggi dan bernilai tinggi untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Industri E&E merupakan pemangkin penting bagi ekonomi Malaysia, memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan pembangunannya, menyumbang hampir tujuh peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Pada suku pertama 2023, industri mencatatkan pelaburan yang diluluskan bernilai RM2.06 bilion, ia dimulakan daripada 16 projek yang akan menjana 1,729 peluang pekerjaan dengan tawaran gaji lebih tinggi.

Eksport E&E bagi tempoh yang sama ialah RM142 bilion, peningkatan 3.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, kata MIDA.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1406
Kongsi :
Previous post UTeM mantapkan kepakaran teknologi WAAM bersama Cranfield University
Next post Malaysia kemuka cadangan baharu projek HSR KL – Singapura selepas ada keputusan – PM Anwar
Ubah saiz-+=