Pelajar Malaysia patah tulang dalam kemalangan di Kaherah

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

KUALA LUMPUR 6 Sept – Muhammad Haikal Ahmad Kabir, pelajar yang mengalami patah tangan kiri dan kaki kanan dalam kemalangan jalan raya di Kaherah, Mesir telah selamat menjalani pembedahan yang menelan kos EGP100,000 (RM26,000).

Menurut laporan Education Malaysia Egypt menerusi Facebook rasminya pada Ahad, Muhammad Haikal antara lima penuntut Malaysia di Universiti Al-Azhar yang cedera dilanggar motosikal semasa melintas jalan dalam kejadian pada Jumaat lepas. Rakan-rakannya yang lain cedera ringan.

“Dia kini dalam proses sembuh dan keluarga kesemua mangsa telah dimaklumkan mengenai perkembangan masing-masing,” kata Atase Pendidikan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah Mohd Yasser Abdul Ghani malam tadi yang dihubungi Bernama.

Dalam kajadian pada sebelah malam itu motosikal itu dilaporkan tidak memasang lampu hadapan. Kesemua mangsa yang berasal dari Kedah dihantar ke Hospital Bedayat, Hayyu Tahmin, Kaherah untuk rawatan dengan hanya Muhammad Haikal yang cedera parah.

Mohd Yasser turut menyampaikan penghargaan kepada orang awam di Malaysia yang menyumbang daripada segi kewangan sehingga urusan merawat kesemua mangsa berjalan dengan lancar.

Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah akan memastikan kebajikan dan apa sahaja bentuk bantuan yang diperlukan di pihak mangsa, dapat diberikan, kata Mohd Yasser.

Sementara itu, wakil Duta Besar Malaysia Ke Kaherah Zamani Ismail turut menziarah mangsa terbabit.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1099
Kongsi :
Previous post Derma darah 101 kali sejak 1986
Next post Tiada keperluan pertikai keabsahan PM melalui usul undi percaya
Ubah saiz-+=