Pelajar pulang beraya cetus Kluster Jalan Kolej Yayasan

Masa Membaca:58 Saat

AYER KEROH 27 Mei – Melaka merekodkan pertambahan satu lagi kluster baharu hari ini membabitkan sebuah institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Durian Tunggal, Alor Gajah.

Dikenali sebagai Kluster Jalan Kolej Yayasan, kes indeks merupakan pelajar berusia 17 tahun yang pulang beraya di Damansara, Selangor selama lapan hari sebelum ia merebak dalam kalangan pelajar di institusi berkenaan.

Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, seramai 56 kontak rapat telah disaring setakat ini dan 16 disahkan positif COVID-19.

“Jangkitan di dalam kluster ini dikenal pasti berpunca daripada komuniti zon merah dan merebak melalui pergaulan pelajar semasa di fasiliti berkenaan.

“Siasatan lanjut bagaimanapun masih diteruskan,” kata kenyataan itu.

Selain kluster baharu, Melaka turut merekodkan satu lagi kematian hari ini membabitkan lelaki berusia 51 tahun dari Tanjung Minyak yang tidak mempunyai sejarah penyakit.

“Kes ada sejarah perjalanan ke Seremban setiap hari atas urusan kerja dan telah dikesan positif melalui saringan bergejala,” kata kenyataan JKN Melaka lagi.

Sehingga hari ini, sebanyak 1,896 pesakit masih dirawat di negeri dan daripada jumlah itu 61 ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan 13 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1086
Kongsi :
Previous post Fenomena Istiwa A’dzam esok, jadi panduan arah kiblat
Next post RM70 juta bukan hanya untuk bangunkan laman web tempahan vaksin- Khairy
Ubah saiz-+=