Selamat kembali ke sekolah, jangan lupa patuh SOP

Masa Membaca:2 Minit, 38 Saat

KUALA LUMPUR 24 Jun  – Selepas tiga bulan ditutup, pelajar tingkalan lima dan enam di seluruh negara memulakan kembali sesi persekolahan di sekolah pagi ini.

Rata-rata pelajar yang ditemui mengakui berasa teruja, dan tidak kurang juga gementar untuk kembali ke sekolah dalam suasana normal baharu.

Di Melaka, pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Haji Talib Karim, Alor Gajah, Nurul Balqis A. Malex, 19, teruja untuk memulakan kembali sesi persekolahan  setelah lebih tiga bulan menjalani sesi pembelajaran secara dalam talian di rumah.

“Secara keseluruhan sesi pembelajaran sedikit terganggu kerana belajar di rumah menerusi dalam talian berbeza dengan di sekolah,” katanya yang tinggal di Taman Seri Pelangi, Alor Gajah.

Bagi pelajar tingkatan lima SMK Bukit Katil, Bukit Katil pula, Amirul Danial Hakimi, 18, walaupun pembelajaran dalam talian membantu dalam persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sesi persekolahan memberikan kelebihan kerana dapat berinteraksi dengan guru dan rakan secara bersemuka.

Di Kuching, Sarawak, sebanyak 188 sekolah menengah di Sarawak dibuka semula hari ini melibatkan 34,306 pelajar tingkatan lima dan 6,782 pelajar tingkatan enam.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Seri Michael Manyin berkata, beliau berpuas hati dengan persiapan yang dibuat untuk memastikan proses pembelajaran  berjalan lancar.

Lebih 100 pelajar memulakan sesi persekolahan di SMK Long Lama dan SMK Datuk Temenggong Oyong Lawai Jau di Long San di Hulu Baram, antara kawasan luar bandar di Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau berkata, sekumpulan guru yang mengajar di kedua-dua sekolah berkenaan telah melalui proses kuarantin sejak dua minggu lepas di Miri dan disahkan negatif jangkitan Covid-19 serta dibenarkan kembali bertugas.

 

Di Kota Kinabalu Sabah, beberapa pelajar tingkatan lima dari luar bandar dan pedalaman Sabah yang kembali ke sekolah masing-masing hari ini, antaranya Sherrylyana Pinikit, pelajar SMK Nabawan II melakukan persiapan mental dan fizikal selain memastikan kesihatannya berada pada tahap optimum.

“Berikutan sekolah dibuka semula, saya boleh berjumpa terus dengan guru jika saya tidak memahami sesuatu mata pelajaran kerana penerangan melalui pembelajaran dalam talian adakalanya terganggu berikutan jaringan Internet yang tidak stabil, selain telefon tidak dapat memuat naik banyak dokumen tugasan,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, pihak sekolah juga membuat video simulasi mengenai prosedur operasi standard (SOP) normal baharu termasuk amalan jarakan sosial yang dimuat naik menerusi platform YouTube sebagai panduan pelajar.

Bagi pelajar tingkatan lima SMK Gadong di Beaufort, Md Aidil Azim, 17, ini adalah masa untuk ulang kaji sekali gus memahami semula mana-mana mata pelajaran yang sukar difahami semasa pembelajaran dalam talian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Di Seremban, pembukaan semula sesi persekolahan hari ini melibatkan seramai 20,954 pelajar tingkatan lima dan enam di 124 sekolah termasuk sekolah berasrama penuh (SBP) di seluruh Negeri Sembilan, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Md Fiah Md Jamin.

Di Kuala Terengganu, pembukaan semula sesi persekolahan memberikan perasaan bercampur-baur kepada pelajar, Ahmad Imran Shahbudin, 17, yang gementar kerana sepanjang pelaksanaan PKP bermula 18 Mac lepas, dia hanya berhubung dengan guru dan rakan secara dalam talian.

Pelajar tingkatan lima SMK Seri Budiman itu yang turut mengakui berasa bimbang akan keselamatan diri apabila berada di sekolah memandangkan pandemik COVID-19 masih belum berakhir, berkata, pelitup separuh muka adalah antara “teman baiknya” ketika ini.

— BERNAMA

Views:

386
Kongsi :
Previous post Amaran kepada peniaga ingkar SOP
Next post 13,640 pelajar tingkatan 5, 6 mulakan sesi persekolahan hari ini di Melaka
Ubah saiz-+=