13,640 pelajar tingkatan 5, 6 mulakan sesi persekolahan hari ini di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 24 Jun – Seramai 13,640 pelajar tingkatan lima dan enam di negeri ini memulakan sesi persekolahan hari ini selepas hampir tiga bulan sekolah ditutup akibat pandemik Covid-19.

Daripada jumlah itu, seramai 11,505 pelajar terdiri daripada pelajar tingkatan lima yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala 1,227 lagi pelajar tingkatan enam bagi calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Ketua Menteri Melaka, Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata, turut memulakan sesi persekolahan adalah pelajar tingkatan enam yang bakal mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) manakala 793 lagi membabitkan 793 pelajar di Kolej Vokasional (KV).

“Sebanyak 77 sekolah di negeri ini menerima pelajar menjadikan jumlah keseluruhan yang memulakan sesi persekolahan hari ini seramai 13,640 orang.

“Jumlah guru yang memulakan tugas hari ini adalah seramai 6,120 orang di sekolah menengah manakala 7,798 guru sekolah rendah,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Keroh di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Pengerusi Jawatankuasa di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan) Negeri, Datuk Noor Effendi Ahmad serta Pengarah Pendidikan Negeri, Dr Mohd Azam Ahmad melawat beberapa kelas di sekolah berkenaan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

Menurut Sulaiman, guru dan pihak pentadbiran sekolah perlu memainkam peranan penting bagi memastikan pelajar mematuhi SOP dan penjarak sosial sepanjang sesi persekolahan.

“Apa yang saya lihat tadi, SOP seperti penjarakan sosial dipatuhi sebagaimana dikehendaki Kementerian Pendidikan.

“Apabila sesi persekolahan bermula, Alhamdulillah pelajar dapat bersemuka dengan guru dan bertanya mengenai pelajaran yang mana sebelum ini mereka belajar melalui atas talian,” katanya.

Views:

396
Kongsi :
Previous post Selamat kembali ke sekolah, jangan lupa patuh SOP
Next post Mangsa banjir di Johor meningkat 798 orang
Ubah saiz-+=