Sorting by

×

PELANCONGAN KESIHATAN: MELAKA SASAR KEHADIRAN 300,000 PELANCONG INDONESIA

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

SUNGAI UDANG 18 Mei – Kerajaan Negeri menyasarkan seramai 300,000 rakyat Indonesia akan ke Melaka bagi mendapatkan rawatan menerusi pelbagai pakej ditawarkan pelancongan kesihatan sepanjang 2025.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata perkara itu adalah berdasarkan lawatan kerja beliau bersama Hospital Putra dan sebuah syarikat swasta ke Pekanbaru, Indonesia baru-baru ini.

Katanya, pada lawatan terbabit delegasi dari Negeri Melaka menerima sambutan dan maklum balas yang memberangsangkan.

“Sepanjang 2024 Malaysia menerima kunjungan 800,000 pelancong dari Indonesia dan 25 peratus daripada jumlah itu berkunjung ke Melaka.

“Kebanyakan daripada mereka yang datang ke Melaka menerusi sektor ini (pelancongan kesihatan) mendapatkan perkhidmatan dan rawatan di empat hospital swasta yang sangat terkenal ‌‎dalam kalangan rakyat negara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Perasmian Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang yang disempurnakan oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Datuk Kalsom Noordin yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dewan Anugerah Desa Cemerlang (ADC) Paya Rumput Jaya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Penyelaras DUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin dan Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Siti Faizah Abd Azis.

Mengulas lanjut, Hee Sem berkata selain Pekanbaru, pihaknya dapat mengenal pasti ramai dalam kalangan penduduk dari Medan dan Batam turut berkunjung ke Melaka menerusi sektor pelancongan kesihatan.

“Di Melaka mereka dapat penjimatan sehingga lebih 30 peratus, di sana kos perawatan agak mahal jadi ramai memilih untuk ke negeri ini.

“Selepas Indonesia, kita sasarkan untuk menarik pelancong dari Vietnam bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan di sini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4164
Kongsi :
Previous post PENIAGA WANITA CEDERA DISIMBAH ASID DI BACHOK
Next post WRUR: WARGA SUNGAI UDANG PERLU AMBIL PELUANG SUARAKAN ISU SETEMPAT