“Pelancongan Melaka tak terjejas, walau cuti sekolah singkat” – KM

Masa Membaca:59 Saat
SULAIMAN (dua kiri) bersama Roslan (kiri) ketika melawat kawasan Merlimau hari ini.

MERLIMAU 27 Jun – Kerajaan negeri optimis sektor pelancongan di Melaka tidak terjejas, meskipun cuti persekolahan tahun ini dipendekkan.

Ketua Menteri, Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata, ia kerana Melaka masih kekal sebagai destinasi pelancongan pilihan ramai dan ia terbukti apabila sebanyak 6,800 bilik hotel sudah ditempah.

“Melaka mempunyai kira-kira 18,000 bilik hotel dan lebih 6,800 sudah ditempah pelancong sehingga Disember depan.

“Ini menunjukkan sektor pelancongan di Melaka tidak terjejas susulan cuti sekolah yang singkat seperti diumumkan kerajaan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jelajah Agropreneur Muda peringkat negeri di Dewan Datuk Haji Ahmad Ithnin, di sini, hari ini.

Minggu lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) meminda Takwim Penggal Persekolahan 2020 untuk membantu pihak sekolah membuat perancangan pengajaran dan pembelajaran (P&P) murid.

KPM memaklumkan, pindaan membabitkan cuti pertengahan penggal dua yang dikurangkan daripada sembilan hari kepada lima hari.

Ia membabitkan sekolah kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu dan kumpulan B membabitkan Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya

Views:

1460
Kongsi :
Previous post RM800,000 bangunkan kawasan riadah baharu di Merlimau
Next post Tukar hari parkir percuma untuk bantu PBT, tingkat kemajuan negeri – KM
Ubah saiz-+=