Pelancongan perpaduan jadi keunikan TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

MERLIMAU 27 Mei – Acara pelancongan berteraskan perpaduan menjadi antara keunikan yang bakal ditampilkan pada Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata, konsep itu ditampil selaras dengan konsep Kerajaan Perpaduan yang dibawa di peringkat Nasional dan Negeri Melaka.

Katanya, melalui perancangan itu, pihaknya menerusi Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Melaka bakal bekerjasama dengan Tourism Melaka untuk menganjurkan program yang melibatkan kepelbagaian kaum.

“Ini bermaksud, acara pelancongan yang diadakan tahun depan akan turut melibatkan kepelbagaian kaum, termasuk etnik minoriti seperti Baba dan Nyonya, Serani dan Chitty, selain turut melibatkan Masyarakat Orang Asli di Melaka.

“Kita akan bekerjasama dengan agensi dan jabatan berkaitan pelancongan negeri sebagai tanda sokongan dalam menyemarakkan lagi TMM2024,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Melaka di Dataran Orang Kampung Merlimau, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalannya Siti Faizah Abd Azis; Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Perpaduan Negara Norihan Mohamed Naim; Pengarah JPNIN Negeri Melaka Intan Suhana Yusuff dan Pegawai Daerah Jasin Rahizi Ranom.

Mengulas mengenai sambutan minggu perpaduan itu, Hee Sem berkata, program selama dua hari itu berjaya menarik lebih 3,000 masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Katanya, sebanyak 17 program berkonsep perpaduan telah dianjurkan antaranya Jentera Perpaduan Berselawat; Pertandingan Nostalgia Anak Kampung; Dialog Perpaduan; Peragaan Busana Baba dan Nyonya; Night Fun Run serta lain-lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1396
Kongsi :
Previous post Rombakan kabinet hak mutlak, budi bicara perdana menteri – Ahmad Zahid
Next post Lawatan pelajar luar negara bantu promosi Melaka
Ubah saiz-+=