Lawatan pelajar luar negara bantu promosi Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

TELOK MAS 27 Mei – Penganjuran Program Lawatan Pelajar Luar Negara ke Homestay Kampung Alai dilihat mampu menjadi platform dalam membantu mempromosikan Negeri Melaka.

Presiden Persatuan Homestay Negeri Melaka Datuk Akramudin Ab Aziz berkata, memasuki penganjuran kali keempat, program itu terus mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Katanya, untuk penganjuran kali ini seramai 24 pelajar antarabangsa dari UTM dibawa mengikuti program dan mereka didedahkan dengan pelbagai aktiviti kebudayaan dan tradisional.

“Kalau kita lihat program pada sebelah pagi membabitkan acara sukaneka di sawah padi yang terdiri daripada permainan tradisional dan malam pula akan diadakan cukur jambul, berzanji serta dondang sayang. Ini memberi pengalaman baharu buat mereka.

“Saya percaya dengan adanya aktiviti sebegini Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) nanti akan lebih meriah lagi,” katanya.

IMG_7755
Presiden Persatuan Homestay Negeri Melaka Datuk Akramudin Ab Aziz mengadakan sidang akhbar pada Program Lawatan Pelajar Luar Negara, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Homestay Kampung Alai, Telok Mas, Melaka. Foto: MR. AZLI

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Lawatan Pelajar Luar Negara, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Homestay Kampung Alai, hari ini.

Menurutnya, penganjuran kali kelima program itu dijangka diadakan pada September depan yang turut mendapat kerjasama dengan pihak UTM.

“Apa yang dimaklumkan kepada saya oleh pihak UTM mereka berpuas hati dengan penganjuran dan pengisian sepanjang program malah pada September nanti akan diadakan lagi.

“Dengan pengisian program ia secara tidak langsung memberi gambaran dan pengalaman kepada peserta untuk merasai kehidupan masyarakat setempat begitu juga dengan adat serta budaya,” katanya.

Ujar Akramudin, kejayaan program itu tidak akan dapat dicapai tanpa sokongan semua pihak yang terbabit termasuklah penduduk kampung yang banyak membantu.

IMG_7757
Acara sukaneka menangkap itik pada Program Lawatan Pelajar Luar Negara, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Homestay Kampung Alai, Telok Mas, Melaka. Foto: MR. AZLI

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1173
Kongsi :
Previous post Pelancongan perpaduan jadi keunikan TMM2024
Next post Suasana gamat, pelajar asing mandi lumpur
Ubah saiz-+=