Suasana gamat, pelajar asing mandi lumpur

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

TELOK MAS 27 Mei – Suasana kawasan sawah padi di Kampung Alai, di sini, yang lazimnya sunyi pada hujung minggu bertukar gamat dengan gelak ketawa sekumpulan pelajar antarabangsa yang menyertai aktiviti sukaneka bersama penduduk kampung.

Ternyata, gelagat kumpulan pelajar antarabangsa terdiri daripada beberapa negara antaranya Sudan dan Morocco yang awalnya kekok dengan keadaan sawah padi yang berlumpur namun mula menunjukkan keterujaan masing-masing.

Sebaik memasuki sawah untuk bermain acara sukaneka seperti bola sepak dan menangkap belon mereka tidak lagi menghiraukan keadaan badan yang penuh dengan lumpur.

Malah, lebih menyeronokkan apabila kumpulan pelajar ini beraksi ketika acara menangkap itik, walaupun terpaksa berendam di dalam lumpur sawah.

IMG_7761
Temubual pelajar dari Morocco Basma Ameziane,28, pada Program Lawatan Pelajar Luar Negara, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Homestay Kampung Alai, Telok Mas, Melaka. Foto: MR. AZLI

Bagi pelajar dari Morocco Basma Ameziane, 28, berkata, pengalamannya dapat menjejak kaki ke kampung adalah sesuatu yang menakjubkan dan memberi pengalaman luar biasa.

“Ini kali kedua saya datang ke Melaka tetapi suasana kali ini amat berbeza dan memberikan pengalaman baharu buat saya apabila dapat mengenali budaya hidup masyarakat kampung dengan lebih dekat.

“Dan untuk pertama kali dalam hidup saya dapat turun ke sawah dan bermain bola, ia sesuatu yang menakjubkan,” katanya.

Dia yang belajar dalam bidang Kejuruteraan Kimia berkata, menerusi program yang disertai itu juga, dia berpeluang mempunyai keluarga angkat.

“Sebenarnya banyak yang saya ingin tahu mengenai kehidupan masyarakat kampung ini dan dengan masa yang agak singkat saya harap dapat belajar serba sedikit,” katanya.

IMG_7760
Presiden Persatuan Homestay Negeri Melaka Datuk Akramudin Ab Aziz (duduk, tengah) bergambar bersama pada Program Lawatan Pelajar Luar Negara, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Homestay Kampung Alai, Telok Mas, Melaka. Foto: MR. AZLI

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1687
Kongsi :
Previous post Lawatan pelajar luar negara bantu promosi Melaka
Next post Jenazah Awang Askandar selamat dikebumikan di Papar, Sabah
Ubah saiz-+=