Pelanggan puas hati harga asam pedas masih berpatutan
BANDA HILIR 16 Jan – Orang ramai khususnya pelancong yang datang berkunjung ke negeri ini tetap berpuas hati dengan harga masakan asam pedas di restoran atau kedai makan di kawasan tumpuan awam.
Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di beberapa lokasi tumpuan pelancong mendapati restoran masakan asam pedas padat dengan kunjungan pelanggan meskipun berlaku kenaikan harga makanan itu baru-baru ini.
Hasil tinjauan mendapati harga bagi hidangan set asam pedas ikan kembung dan ikan pari saiz sederhana dijual pada harga biasa RM10 manakala set asam pedas ikan jenahak RM18 berbanding RM15 sebelum ini.
Seorang pelanggan, Harris Watan, 48, berkata, dia baharu sahaja mengunjungi kedai asam pedas yang agak popular di Klebang dan berpuas hati dengan harga asam pedas yang dijual di situ.
Dia yang bercuti ke Melaka bersama keluarga sejak Khamis lalu berkata, dia menjangkakan harga asam pedas di situ akan lebih mahal disebabkan berlaku kenaikan harga bahan mentah makanan itu.
“Memang kalau datang ke Melaka, saya akan ke kedai asam pedas di situ dan sudah maklum dengan harganya.
“Tetapi saya dapati peniaga kedai itu tidak menaikkan harga asam pedas tetapi asam pedas jenahak naik RM2 namun pada saya, harganya tetap okey kerana saiz ikan agak besar,” katanya.
Katanya, dia tetap memilih untuk berkunjung ke restoran asam pedas di Melaka memandangkan masakan itu merupakan makanan kegemarannya sekeluarga.
“Tidak mengapalah naik harga berapa pun, janji sedap dan ikan banyak isi, mereka berniaga mestilah keuntungan dicari.
“Harga pun masih berpatutan, tidaklah terlalu mahal, saya rasa pelanggan lain pun tiada masalah dengan harga asam pedas yang dijual sekarang,” katanya yang juga seorang peniaga menjual barangan atas talian.
Baru-baru ini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka mengesan kenaikan harga asam pedas yang berpunca dari kenaikan bahan mentah masakan itu.
Kenaikan harga masakan ikonik di Melaka itu turut menarik perhatian Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali yang turut berharap peniaga masakan itu tidak mengambil kesempatan menaikan harga terlalu mahal.
Sementara itu Bakrim Daus, 30, berkata, peniaga masakan asam pedas tiada pilihan selain menaikan harga masakan itu ekoran kenaikan harga bahan mentah.
“Saya sendiri tiada masalah nak bayar setakat kenaikan beberapa ringgit, janji masakan sedap.
“Sebelum ini pun, harga asam pedas ikan kembung sekitar RM6 hingga RM8 tetapi sekarang sudah RM10 per set, jadi kalau naik RM12 tiada masalah, janji sedap dan isi ikan pun banyak,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, terpulang kepada kebijaksanaan pengguna untuk membuat pilihan memilih restoran asam pedas yang menjual masakan itu pada harga yang lebih murah dan sedap.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.