Pelanjutan Zon Bebas Kenderaan masih di peringkat kajian

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 22 Disember – Pelanjutan Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir kepada 54 jam yang berkuatkuasa bermula hari ini hingga jam 12 tengah malam pada Ahad masih lagi di peringkat kajian.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, pelanjutan tempoh masa inisiatif itu secara tidak langsung menyokong inisiatif bebas karbon selain meningkatkan tahap kebersihan.

Rais berkata, pelaksanaan inisiatif Zon Bebas Kenderaan juga membantu Negeri Melaka meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa sebelum ini.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri sedia menerima sebarang maklum balas daripada orang ramai terutama penduduk sekitar bagi menambahbaik inisiatif dijalankan di lokasi tumpuan pelancongan itu.

“Insya-Allah segala keluh kesah atau bantahan daripada peniaga mahupun rakyat akan dinilai semula, tidak adil kita komen lebih kerana hari ini pelanjutan tempoh masa itu bermula. Kita perlu lihat pelbagai sudut kerana ada yang memberikan maklum balas positif, inisiatif ini bukanlah berniat untuk menzalimi mana-mana pihak.

“Tetapi keputusan yang dibuat Kerajaan Negeri ini adalah untuk memastikan Melaka mencapai status negeri bebas karbon dengan mengurangkan pelepasan asap menerusi pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Apresiasi Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) 2023 Sempena Sambutan Hari Perbandaran MPHTJ ke-14 diadakan di sebuah hotel di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron.

Terdahulu Rais menyampaikan anugerah kepada wakil kira-kira 40 agensi, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai menghargai sokongan dan kerjasama mereka bersama MPHTJ sepanjang 2023.

Mengulas lanjut, Rais berkata, Kerajaan Negeri memberi jaminan bahawa Zon Bebas Kenderaan akan membawa manfaat dan limpahan ekonomi kepada rakyat terutama sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Saya yakin dan percaya semua pihak terutama daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Polis Diraja Malaysia (PDRM) berusaha sebaik mungkin untuk memastikan pelanjutan tempoh penutupan jalan ini memberi manfaat kepada semua pihak terutama rakyat Melaka.

“Jadi saya harap semua pihak beri peluang untuk kita menilai semula, kerana ia adalah satu tempoh percubaan dan kita akan menyambut TMM2024, diharapkan adanya sokongan,” katanya.

Semalam, Melaka Hari Ini melaporkan lanjutan tempoh percubaan Zon Bebas Kenderaan bermula dari jam 6 petang hingga Ahad pada jam 12 tengah malam.

Jalan yang ditutup melibatkan Jalan Istana, Jalan Mahkamah, Jalan Gereja – Lorong Gereja- Jalan Laksamana – sebahagian Jalan Tun Khalil Yaakob (sebahagian jalan untuk laluan kenderaan) – Jalan Parameswara – Jalan Kota – Jalan Istana.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

900
Kongsi :
Previous post Dua warga emas rugi RM2.247 juta ditipu pelaburan dalam talian
Next post Larian, kayuhan sempena ulang tahun ke-100 MAFA tawar pelbagai aktiviti menarik
Ubah saiz-+=