Pelapis angkat berat Melaka ‘tapau’ 16 emas

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

AYER KEROH 9 Mac – Melaka sekali lagi mencuri tumpuan dalam sukan angkat berat apabila atlet pelapis negeri berjaya membawa pulang 16 pingat emas, 19 perak dan tiga gangsa pada Karnival Bakat Kebangsaan Siri 1/2024, Selangor, 29 Februari hingga 2 Mac lalu.

Pencapaian itu merupakan kesinambungan daripada beberapa kejayaan yang diraih kontinjen angkat berat Negeri Melaka dalam beberapa siri Kejohanan Bakat yang dianjurkan Majlis Sukan Negara (MSN) bermula tahun 2022.

Menurut Pengurus Pasukan Asrul Khan Syer Jang Khan, pada kejohanan yang berlangsung di Sekolah Sukan Negeri Selangor, SMK Seksyen 11 Shah Alam itu, Melaka telah menghantar seramai 24 atlet berusia 9 hingga 16 tahun.

Katanya, kejayaan meraih keseluruhan 38 pingat itu merupakan pencapaian terbaik Melaka sejak sukan berkenaan diaktifkan semula pada 2021 oleh Cikgu Imran Lamin bermula di Sekolah Kebangsaan (SK) Nyalas dengan bantuan dan sokongan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, MSN, MSN Negeri Melaka, Persekutuan Angkat Berat Malaysia serta Persatuan Angkat Berat dan Bina Badan Amatur Negeri Melaka.

“Pihak pengurusan dan kejurulatihan tidak menjangkakan kejayaan besar ini kerana sasaran utama pasukan adalah untuk memberi pengalaman kepada atlet-atlet muda bertanding di peringkat kebangsaan.

“Alhamdulillah semua atlet sangat bersemangat dan mempraktikkan apa yang diajar oleh jurulatih dan telah memberikan persembahan terbaik mereka. Hasilnya, atlet-atlet yang berusia 9 tahun juga menyumbang pingat di karnival kali ini.

“Namun demikian, masih banyak kekurangan daripada segi teknik angkatan perlu diperbaiki supaya kita dapat mempertahankan pungutan pingat yang kita lakar di Shah Alam pada kejohanan-kejohanan akan datang,” katanya.

Tambah Asrul Khan, kehadiran atlet pelapis kebangsaan yang juga pemenang pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) XX, Nurul Syasya Khairina Samsur ke venue pertandingan turut memberi suntikan semangat kepada atlet Melaka yang bertanding dalam kejohanan itu.

Nurul Syasya telah diterima sebagai atlet pelapis kebangsaan MSN bermula awal Februari lalu dan kini berlatih di Pusat Latihan Angkat Berat MSN Bukit Jalil.

“Anak jati Kampung Nyalas itu juga akan bersekolah di Sekolah Sukan Malaysia Bukit Jalil mulai pembukaan sekolah sesi 2024/2025,”ujarnya.

Karnival Bakat Kebangsaan Siri 1/2024 itu turut mempertandingkan beberapa sukan lain, antaranya memanah, wushu dan ping pong.

Malah, Melaka turut diumum johan keseluruhan pada karnival berkenaan dengan pungutan keseluruhan 20 emas, 21 perak dan 12 gangsa.

“Kita rasa bangga kerana sukan angkat berat turut menyumbang kepada kejayaan mengunguli tempat pertama karnival,”ujar Asrul Khan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1123
Kongsi :
Previous post Menara telekomunikasi Ayer Limau berfungsi sepenuhnya sebelum Aidilfitri
Next post Pemandu lori balak maut digilis jentera berat
Ubah saiz-+=