Pelayan restoran maut, tukang masak parah kereta terbabit kemalangan

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

BANDARAYA MELAKA 30 Oktober – Pelayan restoran maut manakala rakannya parah selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan lain sebelum melanggar pokok di Jalan Kota Laksamana, di sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.05 pagi itu mangsa yang juga penumpang kereta Gan Yaw Seng, 33, maut di lokasi kejadian manakala rakannya Ong Tiang Xian, 28, parah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan itu membabitkan dua buah kereta iaitu kereta Honda Accord dinaiki mangsa dan juga Inokom Atos dipandu wanita berusia 20-an.

Christopher berkata, sebelum kejadian kereta dinaiki mangsa dalam perjalanan dari arah Jonker Walk menghala ke persimpangan lampu isyarat Taman Kota Laksamana, Inokom Atos dari Taman Kota Laksamana Seksyen 2, menghala ke Jalan Laksamana 4.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Honda Accord dinaiki kedua-dua mangsa bertembung dengan Inokom Atos dipandu seorang wanita yang ketika itu ingin keluar simpang ke kanan.

“Akibat daripada pertembungan itu, kereta dinaiki mangsa bersama rakannya yang juga tukang masak melanggar pokok di tepi jalan di laluan bertentangan,” katanya.

Beliau berkata, akibat daripada kemalangan itu, mangsa disahkan maut di lokasi kejadian manakala rakannya parah di bahagian muka.

“Susulan itu mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan manakala mangsa yang maut pula dihantar ke Jabatan Forensik hospital sama.

“Malah polis kini turut mengesan waris mangsa yang maut bagi proses pengecaman sebelum proses bedah siasat dijalankan.

“Kedua-dua kenderaan kini ditahan sebelum dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk tindakan lanjut selain kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3477
Kongsi :
Previous post Kerajaan jamin tidak berlaku kenaikan harga ayam secara mendadak – Mohamad
Next post Jeneral Songwit Noonpackdee dianugerahkan beret ‘merun’, Sayap Penerjunan Kanan Kehormat
Ubah saiz-+=