Pemain MU perlu jalani kuarantin

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

PAYA RUMPUT 28 Sept. – Tiada pengecualian perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) terhadap pemain pasukan Melaka United yang pulang dari Sabah selepas bertemu pasukan skuad Tambadau pada perlawanan Liga Super malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman berkata, dalam setiap perkara pematuhan prosedur operasi standard (SOP) menjadi keutamaan Jabatan Kesihatan dalam memutuskan penularan rangkaian Covid-19.

“Saya yakin tiada pengecualian, sama sahaja, walaupun ada perlawanan. Siapa sahaja yang pulang dari Sabah perlu menjalani HSO termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri
Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang kini sedang menjalani kuarantin di rumah.

“Kalau mengikut Jabatan Kesihatan semua perlu patuh kepada SOP tiada pengecualian termasuk perlawanan juga perlu ditangguh atau ditunda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Pusat Hemodialisis Komuniti Melaka, di Klinik Kesihatan Cheng, yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan negeri Dr. Ismail Ali.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, perkara itu selaras dengan pengumuman dibuat Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah selain semua individu yang tiba dari Sabah juga akan disaring di pintu masuk domestik dan antarabangsa, bermula semalam hingga 10 Oktober depan.

Pemain skuad Hang Tuah, yang terbang ke negeri dibawah bayu itu pada Jumaat dan dijangka akan pulang ke Melaka hari selepas bertemu pasukan Sabah malam tadi.

Skuad kendalian Zainal Abidin Hassan dijangka akan bertemu pasukan Kedah pada Jumaat ini dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 10 Oktober dalam saingan Liga Super.

Views:

234
Kongsi :
Previous post Ibu tunggal, keluarga memerlukan terima sumbangan – PBSPL
Next post Kerajaan terus bekerjasama dengan sektor swasta, kewangan tangani impak Covid-19
Ubah saiz-+=