Sorting by

×

Kerajaan terus bekerjasama dengan sektor swasta, kewangan tangani impak Covid-19

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

KUALA LUMPUR 28 Sept. – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terus bekerja bersama sektor swasta dan institusi kewangan bagi mencari jalan mengurangkan kesan COVID-19 ke atas negara ini.

Beliau berkata selain memerangi dan memantau perkembangan kes, setiap negara termasuk Malaysia, terpaksa menilai semula semua perkara yang telah dan akan dilakukan.

“Walaupun COVID-19 menguji kita dengan cabaran dan penderitaan, pada masa sama wabak ini juga menyatupadukan kita dalam memikirkan apa yang terbaik untuk rakyat – dari segi kesihatan, pekerjaan dan pendapatan serta kebajikan dan kesejahteraan mereka,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian pada Forum Bandar Malaysia (MUF) 2020 yang bertemakan  “The Transformative Pathway and Actions To Deliver The Sustainable Agenda”, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan  Zuraida Kamaruddin serta Pengarah Eksekutif Program Petempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.

Muhyiddin berkata isu kemiskinan terus menjadi kebimbangan kerajaan di sebalik pelaksanaan pelbagai dasar dan program.

“Susulan semakan semula pendapatan garis kemiskinan (PLI) dari RM980 kepada RM2,208, lebih 400,000 isi rumah, iaitu kira-kira 4.6 peratus rakyat Malaysia, kini tergolong dalam kelompok ini,” katanya.

Katanya beliau sendiri turun padang melawat penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak di sini pada Ogos lalu bagi meninjau dan melihat kehidupan penduduk miskin bandar di kawasan berkenaan.

Beliau berkata kebanyakan mereka membuat perniagaan kecil-kecilan, bekerja sebagai pemandu teksi dan lori selain bekerja sendiri untuk meneruskan kehidupan mereka yang semakin mencabar.

“Antara perkara yang boleh ditingkatkan ialah menambah baik pusat komuniti setempat dengan aktiviti menambah kemahiran, keusahawanan dan memperkasakan pendidikan anak-anak mereka untuk menjamin kesejahteraan pada masa depan,” katanya.

Sementara itu,  Muhyiddin berharap aktiviti kebun bandar dapat menangani masalah nutrisi selain mengurangkan beban dalam kalangan isi rumah miskin bandar.

“Sejak penularan pandemik, kita lihat banyak usaha kebun bandar dijalankan oleh Kementerian Pertanian (dan Industri Makanan) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan selain masyarakat setempat,” katanya.

— BERNAMA

Views:

335
Kongsi :
Previous post Pemain MU perlu jalani kuarantin
Next post Covid-19: 39 kontak rapat dikenal pasti
Ubah saiz-+=