Pemandu lori sayur rancang tukar kerja sebelum maut dalam tanah runtuh – Isteri

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

IPOH, 3 Dis – Rancang menukar pekerjaan kerana kepenatan merupakan perbualan terakhir seorang pemandu lori sayur Muhammad Hafiz Hamdi, 31, bersama isterinya sebelum terlibat dalam runtuhan tanah di jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands petang semalam.

Perkara itu dimaklumkan isteri mangsa Nor Shahida Saidin, 31, selain topik perkahwinan adik iparnya sebelum suaminya itu terlibat dalam kejadian tanah runtuh semalam.

Menurutnya arwah Muhammad Hafiz perlu berulang-alik dari kediaman mereka di Tanjung Piandang, Kerian ke Cameron Highlands, untuk mengambil sayur setiap hari.

“Arwah memberitahu bahawa dia ingin menukar pekerjaan daripada pemandu lori kepada pemandu treler sahaja, kerana arwah sering sakit badan sejak kebelakangan ini selain dikhuatiri tiada masa dengan keluarga kerana dia memandu dalam tempoh yang lama,” katanya.

Ibu kepada dua anak itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai proses bedah siasat Allahyarham suaminya, di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HPRB) di sini hari ini.

Dilapor, Allahyarham Muhammad Hafiz Hamdi antara dua yang maut dalam kejadian tanah runtuh itu selain pemandu Toyata Alphard, Tan Chee Heng, 36.

Nor Shahida, ibu kepada Nurhannan Fitrysha, dua tahun dan bayi Muhammad Hafiy Fahri yang berusia tujuh bulan itu berkata beliau mendapat tahu mengenai kejadian malang itu menerusi majikan dan rakan suaminya, serta tidak menyangka waktu Subuh semalam adalah pertemuan terakhir mereka sekeluarga sebelum dijemput Ilahi.

“Subuh merupakan kali terakhir saya berjumpa arwah. Hanya seperti biasa, tiada pesanan, arwah bersalaman dengan saya dan mencium anak-anak seperti hari-hari biasa dan sering mengungkap ‘baby busuk, kakak masam, babah nak pergi kerja dah’ sebelum pergi bekerja,” katanya dengan nada sebak.

Katanya mereka ada berbincang mengenai persiapan perkahwinan adiknya yang akan berlangsung hujung bulan ini, di mana arwah meluahkan hasratnya untuk menaja perbelanjaan perkahwinan adiknya.

Beliau berkata jenazah suaminya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Tanjung Piandang, di Parit Buntar petang ini, setelah segala urusan di hospital selesai.

Bedah siasat juga dilakukan ke atas seorang lagi mangsa tanah runtuh, Tan Chee Heng, yang dalam perjalanan dari Gua Musang ke Pulau Pinang pada hari ini, namun usaha wartawan untuk menemubual keluarganya gagal kerana enggan ditemui pemberita.

Kedua-dua mangsa ditemui tertimbus di dalam kenderaan masing-masing selepas operasi mencari dan menyelamatkan dilakukan hampir lapan jam, sebelum berjaya dikeluarkan pasukan penyelamat dan dibawa ke HRPB.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

644
Kongsi :
Previous post Golongan OKU akan terus dibela, dihargai – Ismail Sabri
Next post 24 pelajar lelaki Maktab Mahmud Sik positif COVID-19
Ubah saiz-+=