Pemandu mabuk rempuh lapan individu ditahan polis

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

KUALA LUMPUR, 21 Mac – Seorang lelaki dipercayai mabuk yang merempuh ruang makan di luar sebuah restoran hingga mengakibatkan lapan individu cedera di Jalan Klang Lama, di sini malam tadi, ditahan polis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata lelaki berumur 57 tahun itu ditahan di lokasi kejadian, pagi ini.

Beliau berkata lelaki itu yang memandu Honda HR-V dari arah Petaling Jaya menghala ke pusat bandar hilang kawalan ketika sampai di lokasi sebelum melanggar sebuah kenderaan jenis Lexus yang diparkir di bahu kiri jalan.

“Akibat pelanggaran itu, kereta Lexus bergerak ke hadapan dan melanggar sebuah Perodua Axia yang diparkir di bahagian hadapan restoran dan melanggar pelanggan-pelanggan yang sedang makan serta dua pejalan kaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sarifudin berkata saringan awal mendapati, kandungan alkohol di dalam badan lelaki itu melebihi had ditetapkan dan kes disiasat di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya orang ramai yang mempunyai pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-2026 0267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

765
Kongsi :
Previous post 35 ekor kambing mati dalam kebakaran
Next post 50 Tahun, Dirgahayu Masscomm
Ubah saiz-+=