Pembangunan 5G di Melaka dijangka bermula hujung tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

BANDARAYA MELAKA 17 April – Melaka bakal menjadi negeri seterusnya ke arah teknologi 5G menerusi Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dijangka akan dibangunkan menjelang penghujung tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, pelancaran diperingkat percubaan pada fasa 1A telah dijalankan pada Disember tahun lalu membabitkan tiga lokasi iaitu di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur.

Manakala bagi fasa 1B, katanya ia akan dilaksanakan di Melaka berikutan keperluan negeri ini yang berpotensi dalam pembangunan industri.

“Kita nampak Melaka mempunyai potensi yang tinggi dalam pembangunan industri kerana Melaka juga mempunyai pelabuhan dan perusahaan berteknologi tinggi.

“Ini seiring dalam gerakan negara yang berada pada fasa keempat revolusi industri (IR 4.0) di mana talian 5G adalah pra syarat paling penting, jadi kita kena siapkan Melaka dengan prasarana terkini dalam perkhidmatan jalur lebar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri selepas Majlis Iftar bersama MenKOMM di Hotel Doubletree di sini hari ini.

Tambah Annuar, kerajaan komited dalam membangunkan prasarana 4G di negara ini sebagai asas kepada pembangunan 5G pada masa akan datang.

“Kementerian memperuntukkan RM904 juta melibatkan sebahagian besarnya Jendela Fasa 1 dan Jendela Fasa 2 dengan menumpukan kepada penambahan menara baharu sebagai persiapan untuk kita melengkapkan asas perkhidmatan 4G.

“Selain itu peruntukan ini juga termasuk naik taraf beberapa ribu menara dan menambah baik gentian optik dari rumah ke rumah sebagai asas kepada perkhidmatan yang berkualiti tinggi, ia termasuk di sekolah dan pusat industri di Melaka.

“Pembangunan seperti ini adalah asas kepada 5G di mana 4G yang digunakan ini merupakan satu fasa di mana kita menutup terus perkhidmatan 3G…kita kena tambah lebih banyak menara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

942
Kongsi :
Previous post Kerajaan tidak campur urusan debat Anwar, Najib – Annuar Musa
Next post Lari dari sekatan jalan raya, polis cari ‘Bob’ dan ‘Fakrul’
Ubah saiz-+=