Pembayar cukai kod MSIC layak dapat penangguhan bayaran – LHDN

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

PUTRAJAYA 10 Jun – Perniagaan pengangkutan penumpang melalui udara mengikut laluan dan jadual biasa, hotel dan operator aktiviti pelancongan antara perniagaan di bawah kod Piawaian Klasifikasi Industri Malaysia (MSIC) yang layak mendapat penangguhan pembayaran Anggaran Cukai Kena Dibayar (CP204) dan Skim Ansuran (CP500).

Menurut kenyataan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini, satu pemberitahuan melalui e-mel rasmi menggunakan domain e-mel @hasil.gov.my akan dikeluarkan kepada pembayar cukai yang layak berdasarkan maklumat Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) terkini yang diterima LHDN.

Menurut LHDN, pembayar cukai yang menjalankan aktiviti perniagaan berdasarkan kepada kod MSIC namun tidak menerima pemberitahuan boleh membuat rayuan melalui e-mel [email protected] atau [email protected].

Penangguhan bayaran ansuran anggaran cukai secara automatik bagi tempoh 1 April hingga 31 Disember 2021 merupakan inisiatif kerajaan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi (PEMERKASA) bagi merangsang semula sektor pelancongan dan peruncitan kepada pembayar cukai yang layak.

LHDN telah menyediakan soalan lazim berkaitan Penangguhan Bayaran Anggaran Cukai Kena Dibayar (CP204) dan Skim Ansuran (CP500) yang boleh dicapai melalui pautan versi bahasa Melayu http://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/SOALAN_LAZIM_PEMERKASA_1.pdf dan versi bahasa Inggeris http://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/SOALAN_LAZIM_PEMERKASA_2.pdf.

Sebarang pertanyaan atau maklum balas berhubung perkara berkenaan boleh diajukan kepada LHDN melalui Hasil Recovery Call Centre di talian 03-8751 1000.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

967
Kongsi :
Previous post Calon SPM 2020 individu hebat, duduki peperiksaan dalam pandemik COVID-19
Next post 2,568 syarikat pengendali pelancongan terjejas dibantu
Ubah saiz-+=