Sorting by

×

Sekolah dibuka mulai 3 Okt berdasarkan fasa PPN dan kaedah penggiliran

Masa Membaca:2 Minit, 40 Saat

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka mulai 3 Okt ini mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan menggunakan kaedah penggiliran murid secara mingguan.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Seri Dr Radzi Jidin berkata sesi persekolahan 2021 juga akan dilanjutkan sehingga Mac 2022 bagi memastikan intervensi dalam kalangan pelajar lemah dapat dilaksanakan berikutan pelajar telah lama tidak ke sekolah.

Selain itu, pembukaan semula sesi persekolahan akan menggunakan kaedah penggiliran murid secara mingguan dengan kapasiti kehadiran murid setiap minggu ditetapkan pada kadar 50 peratus daripada jumlah keseluruhan bagi mengurangkan jumlah dalam kelas dan risiko penularan COVID-19.

Dalam sidang media di sini hari ini, Radzi berkata semua sekolah di negeri dalam Fasa Satu PPN tidak akan dibuka dalam tempoh itu dan pelajar akan meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Bagi negeri dalam Fasa Dua PPN pula, murid berkeperluan khas dibenarkan hadir tanpa penggiliran dan murid sekolah rendah akan meneruskan PdPR.

Bagi sekolah menengah di negeri dalam Fasa Dua, hanya murid tingkatan enam semester dua, program prauniversiti semester tiga di sekolah sukan dan murid kelas peperiksaan antarabangsa dibenarkan hadir.

Dalam Fasa Tiga PPN, pembukaan sekolah diperluaskan kepada murid prasekolah dan tadika swasta yang boleh hadir tanpa penggiliran, manakala sekolah menengah turut melibatkan murid kelas peperiksaan awam di asrama penuh (tanpa penggiliran) dan murid kelas peperiksaan awam di sekolah harian atau swasta yang dibenarkan secara penggiliran.

“Bagi Fasa Empat PPN pula, murid sekolah rendah iaitu Tahap Satu (Tahun 1,2,3) dibenarkan hadir secara penggiliran bermula 17 Okt dan murid Tahap Dua (Tahun 4,5,6) dibenarkan juga secara penggiliran bermula 31 Okt.

“Bermula 17 Okt juga, murid kelas peperiksaan awam, Tingkatan Tiga dan Empat di sekolah asrama penuh dibenarkan hadir tanpa penggiliran manakala murid tingkatan sama bagi sekolah harian dan swasta hadir secara penggiliran sementara kelas peralihan dan Tingkatan Satu serta Dua adalah secara PdPR,” katanya.

Mengenai pembukaan kolej vokasional, Radzi berkata ia akan dibuka bermula Fasa Dua PPN dan kehadiran pelajar akan dibahagi secara penggiliran mengikut peperiksaan berdasarkan semester masing-masing.

Berkaitan Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi, kaedah PdPR akan dilaksanakan pada Fasa Satu dan Fasa Dua PPN, sementara pada Fasa Tiga dan Fasa Empat PPN, pelajar yang lengkap divaksin diberi pilihan untuk hadir ke kampus manakala yang belum divaksin akan meneruskan kaedah PdPR.

Selain itu, Radzi berkata institut pendidikan swasta (IPS) kategori pusat akan beroperasi secara PdPR pada Fasa Satu dan Fasa Dua PPN, sementara pada Fasa Tiga PPN, IPS bagi kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun beroperasi sepenuhnya dan IPS kategori pusat beroperasi secara penggiliran dengan 50 peratus kapasiti kelas.

Pada Fasa Empat PPN pula, operasi secara penggiliran akan ditingkatkan kepada 70 peratus kapasiti kelas bermula 17 Okt manakala operasi secara kapasiti penuh dengan penjarakan fizikal dibenarkan mulai 31 Okt.

Mengenai sekolah dan institut pendidikan di bawah kementerian yang terletak di lokasi  gelembung perjalanan’, beliau berkata pembukaan sekolah adalah mengikut Fasa Empat PPN.

Buat masa ini, negeri-negeri yang diletakkan di bawah Fasa Satu PPN ialah Kedah dan Johor, Fasa Dua (Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Sabah), Fasa Tiga (Perlis, Negeri Sembilan, Sarawak) dan Fasa Empat ialah Labuan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1125
Kongsi :
Previous post Hanya 50 peratus kehadiran pelajar ke sekolah – Radzi
Next post Sesi persekolahan 2021 akan dilanjutkan sehingga ke Mac 2022
Ubah saiz-+=