Pembukaan prasekolah, tadika tidak akan ditangguhkan – Dr Mah

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

IPOH 23 Jun – Pembukaan prasekolah, tabika serta tadika kerajaan dan swasta yang dijadual bermula 1 Julai ini tidak akan ditangguhkan, kata Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk Dr Mah Hang Soon.

Beliau berkata ini kerana keputusan membuka semula adalah disebabkan permintaan daripada ibu bapa bekerja yang memerlukan anak mereka dihantar semula ke prasekolah atau tadika.

“(Pembukaan semula prasekolah) perlu diteruskan …jika ada prasekolah yang mempunyai masalah nanti kita cuba selesaikan. Persiapan telah kita buat dan ambil maklum bila ada keperluan, dan telah diberi kelulusan, perlu diteruskan,” katanya.

Dr Mah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja bagi meninjau persiapan sempena pembukaan semula sesi persekolahan melibatkan pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam mulai esok di Sekolah Menengah Kebangsaan Convent di sini yang turut disertai Pengarah Pendidikan Perak Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali hari ini.

Semalam, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) meminta agar kerajaan menangguhkan pembukaan prasekolah dan tadika yang dijadual bermula 1 Julai ini.

Presiden NUTP Aminudin Awang berkata pihaknya mendapati kebanyakan prasekolah dan tadika belum bersedia untuk beroperasi berikutan kekangan infrastruktur dalam memenuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Sementara itu, Dr Mah berkata berdasarkan hasil lawatan pihak Kementerian Pendidikan ke beberapa sekolah menengah mendapati segala persiapan berjalan lancar dan sempurna sebelum sesi persekolahan bermula esok.

“Kita akan teruskan lawatan ke sekolah yang lain untuk memastikan kesemua sekolah telah bersiap siaga untuk pembukaan semula sekolah dan setakat ini didapati kesemuanya bersiap sedia,” katanya.

— BERNAMA

Views:

586
Kongsi :
Previous post Siswa UTeM bangunkan satelit saingi IPT seluruh negara
Next post Sampah haram bisnes lumayan; kongsi gelap, gengster antara dalang
Ubah saiz-+=