Siswa UTeM bangunkan satelit saingi IPT seluruh negara

0
193
SITI Aisyah (bawah) bersama ahli kumpulannya menggunakan pendekatan komunikasi atas talian bagi memberi cabaran dalam pertandingan tersebut.

DURIAN TUNGGAL 23 Jun – Pasukan mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) atau TUAH FKEKK bersaing bagi membangunkan satelit dalam Malaysia SiswaSAT Competition 2020 yang sedang berlangsung.

Pertandingan anjuran Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu bermula 9 Mac lalu sehingga 16 Oktober depan.

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) UTeM, Siti Aisyah Anas berkata, cabaran pertandingan adalah mereka bentuk model satelit berskala nano dengan sistem operasi seperti satelit sebenar.

“Kita berjaya melepasi saringan sebelum ini dan kini berada pada peringkat penyediaan dokumen untuk membentangkan kajian secara terperinci berkaitan dengan rekabentuk serta operasi model satelit berskala nano.

“Buat masa ini kita sedang bersaing dengan 27 pasukan dari institusi pengajian tinggi seluruh negara dalam pembinaan model satelit berskala nano yang boleh beroperasi seperti satelit sebenar.

“Kami akan pastikan impian untuk menjuarai pertandingan ini menjadi kenyataan sekali gus menjadi pemilik hadiah wang tunai berjumlah RM5,000,” katanya.

Ujarnya, pada masa ini corak komunikasi sesama ahli menggunakan pendekatan komunikasi atas talian seperti Webex dan Whatsapp kerana ia lebih mudah dan berkesan.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berharap pertandingan tersebut dapat digunakan pelajar sebaiknya bagi mengaplikasikan segala ilmu teknikal dan kemahiran yang dimiliki dalam realiti sebenar.

“UTeM terus menyemarakkan budaya penyelidikan dan inovasi di segenap peringkat akar umbi dalam kalangan pensyarah dan juga pelajar,” katanya.

Pasukan TUAH FKEKK dianggotai enam pelajar tahun kedua dari jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik iaitu Muhammad Safie Sijamsir, Syafiq Abdul Halim, Muhammad Izzat Haziq Osman, Siti Nur Syafiqah Mohamed Kamar, Muhamad Amirul Amin Wira dan Muhd Sabri Abdul Rahman.