Pemerdagangan manusia: Polis selamat enam individu, tahan sembila suspek

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KUALA LUMPUR, 22 Jan – Polis berjaya menyelamatkan lima wanita dan seorang lelaki warga asing yang dipercayai menjadi mangsa aktiviti pemerdagangan manusia di sebuah pangsapuri di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata dalam serbuan Isnin lepas, sembilan suspek berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti itu turut ditahan manakala sebuah kenderaan mewah dirampas.

Beliau berkata serbuan dibuat susulan laporan seorang remaja wanita warga tempatan pada 12.20 tengah hari bahawa pekerja ibunya, iaitu seorang remaja warga asing, telah dilarikan oleh dua suspek lelaki warga tempatan dan seorang suspek wanita warga asing yang menaiki sebuah kereta mewah.

Menurutnya dalam satu kenyataan hari ini, pengadu bersama mangsa yang ketika itu berada di kawasan Damansara Utama turut mendakwa ditarik suspek ke dalam kenderaan berkenaan sambil mulut kedua-duanya ditekup namun beliau kemudian dibebaskan tidak jauh dari lokasi kejadian.

Bertindak atas risikan, Mohamad Fakhruddin berkata kedua-dua suspek lelaki berjaya ditahan di sebuah pusat hiburan di ibu kota pada 5.30 petang hari yang sama.

Hasil siasatan ke atas kedua-dua suspek, mangsa yang dilarikan berjaya ditemukan bersama empat wanita dan seorang lelaki yang juga warga asing berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun di sebuah unit di pangsapuri perkhidmatan di sebuah hotel terkemuka di sini.

Beliau berkata kesemua mangsa dikawal oleh empat lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang lelaki warga asing yang kemudian ditahan di premis itu serta direman selama lima hari untuk disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

“Siasatan awal ke atas semua mangsa yang diselamatkan mendapati seorang suspek adalah ejen pekerja warga asing yang telah memperdaya mangsa untuk bekerja tanpa bayaran gaji,” katanya.

Mohamad Fakhruddin berkata kesemua mangsa dikurung di premis itu selama beberapa hari serta dipukul sehingga cedera dan ada antara mereka yang dikurung kerana cuba melarikan diri daripada majikan. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1132
Kongsi :
Previous post BN Johor yakin peluang besar menang PRN Johor
Next post Bukan Beijing, ini di Alor Gajah
Ubah saiz-+=