Pemutihan Empangan Durian Tunggal dari penceroboh hampir selesai

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

BANDARAYA MELAKA 7 Mac – Masalah pencerobohan kawasan tanah rizab Empangan Durian Tunggal kini hampir selesai selepas 95 peratus kebun dan struktur haram telah dimusnahkan.

Pengarah Badan Kawal Selia Air (BKSA) Melaka Faizah Abdul Rahmad berkata, kerja-kerja perobohan struktur dan memusnahkan tanaman di atas 11 plot tanah dalam kawasan empangan itu telah dilakukan sejak tahun lalu dan kini berada pada fasa akhir pelaksanaan.

“Jadi, boleh kita katakan masalah pencerobohan di Empangan Durian Tunggal sudah boleh dianggap selesai.

“Selain itu, kerja-kerja mematikan pokok sawit yang menjadi masalah utama kekurangan air di empangan itu sebelum ini juga sudah kita selesaikan.

“Kini kita akan meneruskan dengan projek-projek penanaman pokok hutan yang mana dalam masa tersekat kita akan adakan program penanaman pokok bersama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia yang akan melibatkan 50 hektar kawasan empangan,” katanya.

SULAIMAN ketika meninjau lokasi pencerobohan Empangan Durian Tunggal tahun lalu. Foto: Mohd Azren Jamaludin

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Projek/Program Terbaik dan Anugerah Kajian Penilaian Outcome Peringkat Negeri Melaka Tahun 2021 yang berlangsung di sebuah hotel di sini, hari ini.

Dalam majlis itu BKSA muncul antara agensi kerajaan negeri paling cemerlang dengan merangkul tiga anugerah iaitu Projek Bukan Fizikal Terbaik, Anugerah Khas Juri bagi Aspek Inovasi dan Anugerah Kajian Penilaian Outcome bagi kluster Infrastruktur.

Kejayaan itu terhasil menerusi penyediaan pelan tindakan kecemasan Empangan Durian Tunggal; kajian kemungkinan pembinaan Empangan Pantai Coastal Reservior di lembangan sungai-sungai Melaka dan kerja-kerja mendalamkan Bunded Storage I Dan II, Durian Tunggal.

Menurut Faizah, kejayaan yang dicapai itu adalah hasil kerjasama erat yang diterapkan dalam pasukan dalam menjayakan apa jua program dan prjek yang diaturkan.

“Saya sangat bangga dengan semangat kerja dalam satu pasukan yang ditunjukkan sepanjang mengendalikan apa jua program dan projek yang dilaksanakan, baik membabitkan peruntukan di peringkat negeri mahupun persekutuan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1334
Kongsi :
Previous post Permohonan permit umrah Ramadan dibuka – MoHU
Next post Banjir kilat landa ibu negara
Ubah saiz-+=