Penagih sanggup berhabis hampir RM1,400 sebulan beli dadah – Dr Akmal

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 7 Mac – Perbelanjaan seorang penagih untuk membeli bekalan dadah mencapai RM1,380 sebulan, melebihi gaji asas yang diterima seorang pekerja biasa pada masa ini.

EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ia berdasarkan data Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri di mana seseorang yang terlibat dengan penagihan dadah perlu membelanjakan RM46 sehari bagi membeli dadah.

Menurutnya, jenis dadah yang paling banyak diambil oleh penagih adalah jenis heroin, morfin dan candu.

“Bayangkan jika penagih tersebut bekerja, ke mana agaknya dia menghabiskan duit gajinya itu? Dan dia menganggur, apa yang dilakukannya untuk mendapatkan duit membeli dadah? Adakah dengan mencuri? meragut? pecah rumah? apa yang akan jadi jika dia seorang ketua keluarga?

“Apa solusinya? masyarakat tidak boleh bersikap `not my issue atau `not my problem’ kerana ini adalah tanggungjawab kita bersama, kita tidak boleh berasa selamat jika hari ini, tiada ahli keluarga atau anak kita tidak terlibat dengan dadah kerana penyakit ini sudah berada lama dalam kehidupan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu sesi dialog sempena program Sesi Lepak Santai Antidadah@Ley Park Station Ayer Keroh bersama Exco Kesihatan dan Antidadah Negeri Melaka di LeyPark Station dekat Dataran Sejarah di sini.

Menurut Muhamad Akmal, sebahagian besar penagih terdiri daripada mereka yang berusia 13 hingga 18 tahun dan belia berusia 19 hingga 39 tahun yang mengambil dadah jenis sintetik seperti syabu, pil kuda, ekstasi dan amphetamine.

“Kesan dadah ini amat memudaratkan terutama kepada fisiologi dan dadah sintetik adalah dadah perangsang di mana penggunaannya menyebabkan hilang kawalan dan bertindak agresif sekali gus menjurus kepada perlakuan aktiviti jenayah seperti membunuh.

“Ini yang berlaku dalam kes jenayah sejak kebelakangan ini dimana seorang anak sanggup menetak ibunya dan bapa membunuh anaknya berusia lima tahun dan hasil ujian air kencing mendapati suspek peminum tegar air ketum dan syabu,” katanya.

Justeru, ujarnya, masyarakat khususnya ibu bapa perlu mengambil tanggungjawab dan tindakan awal bagi menangani permasalahan dadah yang telah menjadi musuh negara selama 39 tahun lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1016
Kongsi :
Previous post Anugerah Projek/Program Terbaik dan Anugerah Kajian Penilaian Outcome jadi acara tahunan
Next post Tiada isu kekosongan jawatan Pengarah MSN Melaka – EXCO
Ubah saiz-+=