Penambahbaikan tangki statik, projek jangka panjang atasi masalah air di Nibong Tebal

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

NIBONG TEBAL, 20 Feb – Beberapa langkah, antaranya penambahan tangki statik dan pelaksanaan lima projek jangka panjang, akan diambil bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air di 14 kawasan di sini, kata Ahli Parlimen Nibong Tebal Datuk Mansor Othman.

Mansor yang juga Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air berkata antara langkah jangka pendek yang akan diambil segera ialah penempatan 16 buah tangki statik komuniti sumbangan pihaknya di beberapa lokasi strategik, sebagai tambahan kepada 16 tangki statik sedia ada di bawah kendalian Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Katanya, tangki baharu yang mampu memuatkan 1,000 liter air itu akan disediakan setiap hari bagi membantu penduduk yang terjejas.

“Selain mewujudkan tangki statik, PBAPP juga telah memberi jaminan untuk mempergiatkan usaha mengesan kebocoran dan pembaikan paip bermasalah di beberapa kawasan yang terlibat dan kami juga akan menyediakan tiga lagi lori tangki yang membawa bekalan air pada bila-bila masa dalam tempoh 24 jam jika berlaku gangguan air yang tidak dijangka,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi dialog melibatkan pihaknya, PBAPP, Suruhanjaya Perkhidmatan Air (SPAN) dan wakil penduduk hari ini.

Selain itu, Mansor berkata lima projek jangka panjang turut dirancang untuk memastikan isu itu tidak berulang pada masa depan, selain dijangka memberi tambahan 569 juta liter sehari (JLH) kepada bekalan air sedia ada.

Menurutnya, lima projek yang mengambil masa tiga hingga lima tahun itu ialah fasa 2 naik taraf tangki pemendapan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua; Pakej 12A iaitu projek modul rawatan air LRA Sungai Dua; fasa 1 LRA Empangan Mengkuang; fasa 1 LRA Sungai Muda dan Skim Bekalan Air Sungai Perai Baharu.

Sebanyak 14 kawasan membabitkan sebanyak 6,612 akaun dan melibatkan lebih 33,000 penduduk, dikenal pasti sebagai lokasi yang sering mengalami gangguan air dan masalah tekanan air rendah dengan kebanyakannya berada di kawasan tinggi atau di hujung paip agihan.

Kawasan tersebut adalah Residensi Merbok-Air Lintas, Taman Sintar Indah, Taman Cenderawasih, Taman Cenderawasih Indah, Taman Cowin Indah-Jalan Ooi Kar Seng, Taman Seri Pancur-Jalan Bukit Panchor serta Taman Widuri.

Turut terkesan ialah Taman Seruling Emas, Kampung Wellesley, Taman Pancur Permai, Kampung Tasek Junjong, Kampung Sungai Duri, Sungai Baong dan Taman Seri Putera.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penggerak (Sementara) Sungai Bakap, yang juga wakil penduduk, Khairul Ahmad Fitri Suhaimi berkata pihaknya berpuas hati dengan sesi dialog itu yang dianjurkan untuk membantu penduduk menangani isu tersebut yang membelenggu mereka sejak beberapa tahun lepas.

“Paling penting memberikan notis gangguan air lebih awal agar kami lebih bersedia jika berlaku masalah bekalan air dan sebagainya. Saya harap, isu ini akan dapat selesai segera,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1788
Kongsi :
Previous post Suspek kes bunuh wanita di Serdang Perdana serah diri
Next post Kampung Long Pasia dilanda banjir, 30 rumah terjejas
Ubah saiz-+=