Penceramah di Melaka perlu dapat tauliah – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

BUKIT KATIL 24 Dis. – Pencemarah di negeri ini perlu mendapatkan pentauliahan mengajar agama daripada Jabatan Mufti Negeri Melaka sebelum boleh berceramah di masjid-masjid dan surau.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, itu merupakan antara undang-undang dan garis panduan yang ditetapkan kepada jawatankuasa masjid di negeri ini sebelum menjemput penceramah dari dalam negeri.

Selain itu, ujarnya, jemputan penceramah dari luar Negeri Melaka pula, perlulah mendapat kebenaran khas daripada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Jabatan Mufti Negeri Melaka.

SULAIMAN

“Kadang-kadang pihak masjid memanggil guru-guru takmir atau penceramah dalam negeri untuk mengajar atau sampaikan ceramah. Tapi ada masanya, bila esok, lusa ada orang mempertikaikan.

“Ada yang akan persoal guru atau penceramah yang dipanggil itu ada tauliah tak? Jadi sesiapa sahaja yang nak mengajar atau beri ceramah seelok-eloknya mesti dapat pentauliahan daripada Jabatan Mufti supaya kalau ada berlaku sesuatu ia di bawah pemantauan Jabatan Agama Islam Melaka.

“Begitu juga dengan penceramah luar. Sebaik-baiknya jawatankuasa masjid perlulah mendapatkan nasihat atau pandangan pejabat Mufti terlebih dahulu. Kita tak mahu ada perkara berbangkit di kemudian hari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program pembudayaan Norma Baharu bersama Jawatankuasa Masjid dan Pegawai Syarak Negeri Melaka di Auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah, di sini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka Datuk Md Rawi Mahmud; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka Datuk Md Azhan Samat dan Pengarah Majlis Keselamatan Negeri Melaka Mohd Nasrul Menhat.

Megulas mengenai penganjuran majlis tersebut, Sulaiman berkata ia diadakan bagi memberi penerangan kepada jawatankuasa masjid dan pegawai syarak di negeri ini untuk terus mengamalkan norma baharu sepanjang musim pandemik COVID-19.

Jelasnya, penerangan mengenai prosedur operasi standard (SOP) di rumah ibadat perlu ditekankan untuk mengelakkan aktiviti di masjid menjadi asbab kepada penularan wabak.

Antara yang ditekankan dalam aktiviti pengimarahan masjid dan surau ialah setiap jemaah wajib wajib membuat pendaftaran nama dan memeriksa suhu badan, sentiasa memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal satu meter.

Views:

1463
Kongsi :
Previous post Pesara guru rugi RM1.8 juta ditipu Macau Scam
Next post PPK Jasin bantu 10 peniaga baharu
Ubah saiz-+=