Penceramah direman 5 hari bantu siasatan kes rogol remaja

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

IPOH, 28 Julai – Seorang penceramah bebas direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan berumur 14 tahun di negeri ini.

Lelaki berusia lingkungan 30-an itu yang memakai kemeja-T tiba dengan tangan bergari dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada kira-kira 1 tengah hari.

Tempoh reman bermula hari ini sehingga Isnin dikeluarkan oleh Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut.

Polis Perak sebelum ini mengesahkan menerima satu laporan berhubung kes rogol remaja perempuan dipercayai membabitkan seorang penceramah bebas popular, yang ditahan di Selangor pada 18 Julai lepas melibatkan mangsa sama dan siasatan sedang dijalankan berhubung laporan itu.

Penceramah bebas itu dilaporkan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada 4.50 petang dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sabtu lepas, suspek diserahkan kepada Polis Kuala Lumpur bagi siasatan lanjut berhubung kejadian rogol yang dilaporkan turut berlaku di negeri itu selepas tempoh reman selama lima hari di Selangor tamat.

Difahamkan, polis Perak menahan suspek di Kuala Lumpur semalam bagi membantu siasatan kes rogol yang dipercayai berlaku di Ipoh pada Januari lepas.

Berdasarkan siasatan awal, perkenalan di antara suspek dan remaja bawah umur itu dipercayai bermula apabila mangsa menghubungi lelaki terbabit di media sosial bagi bertanyakan masalah agama sebelum hubungan terjalin sejak Mei tahun lepas.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1187
Kongsi :
Previous post Tokoh Maal Hijrah: Dua anugerah baharu diperkenalkan
Next post Malaysia lakar sejarah, undang-undang larang lompat parti dilulus Dewan Rakyat
Ubah saiz-+=