Pendidikan agama Islam sentiasa diutamakan – KM

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 15 Jun – Kerajaan Negeri sentiasa memberi keutamaan terhadap kemajuan bidang pendidikan, khususnya pendidikan agama Islam di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ia kerana pendidikan agama merupakan pelaburan yang mesti dijana demi kelangsungan dan ketamadunan bangsa, negeri dan negara pada masa hadapan.

Beliau berkata, sebaik memikul tanggungjawab sebagai Ketua Menteri 31 Mac lalu, antara perkara yang diberikan keutamaan ialah membabitkan kebajikan guru agama Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim).

Justeru, katanya, bagi menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru Jaim, Kerajaan Negeri telah meluluskan Cadangan Pelantikan Guru Kafa bagi Sekolah Rendah Agama (SRA) Jaim secara kontrak khas dan penyelarasan elaun perkhidmatan.

“Kesemua guru SRA Jaim seramai 1,422 orang akan mendapat manfaat dilantik secara kontrak khas Kerajaan Negeri berkuat kuasa 1 Januari 2023 dan akan menerima emolumen sekurang-kurangnya RM1,500 berdasarkan kadar gaji minimum yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Bukan itu sahaja, seramai 505 orang guru SRA Jaim lantikan selepas tahun 2016 akan menerima emolumen secara pukal sebanyak RM1,500 sebulan iaitu kenaikan emolumen sebanyak RM500 sebulan berbanding emolumen yang mereka terima hanya RM1,000 sebulan sebelum ini.

“Manakala, 917 orang guru SRA Jaim lantikan sebelum tahun 2016 akan menerima emolumen secara pukal mengikut emolumen akhir yang diterima pada tahun 2023 sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Jaim Peringkat Negeri Melaka Tahun 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman dan Timbalannya Rosli Abdullah; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Fairul Nizam Roslan dan Timbalannya Mohd Noor Helmy Abd Halem; Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan Pengarah JAIM Datuk Che Sukri Che Mat.

Ab Rauf berkata, selain guru Kafa SRA Jaim, turut menerima tempias ialah 375 guru Tadika Jaim yang diluluskan kontrak khas melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.262 juta serta penyelarasan elaun perkhidmatan.

Jelasnya, seramai 314 Guru Tadika Jaim lantikan sebelum tahun 2016 akan menerima imbuhan secara pukal mengikut gaji akhir yang diterima pada tahun 2023, manakala, 61 pekerja sambilan harian dimansuhkan selepas lantikan secara kontrak khas dilaksanakan dengan bayaran imbuhan secara pukal sebanyak RM1,500 sebulan.

“Saya amat berharap keputusan ini akan memberikan rangsangan kepada semua guru-guru SRA Jaim dan guru tadika Jaim untuk terus memberikan perkhidmatan cemerlang dan dapat mendidik para pelajar Islam Negeri Melaka menjadi insan yang berguna kepada bangsa, agama dan negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1076
Kongsi :
Previous post Jualan Rahmah sempena Aidiladha di 600 DUN bermula esok
Next post Pendidikan Islam jadi keutamaan – KM
Ubah saiz-+=