Pendidikan Islam jadi keutamaan – KM

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

AYER KEROH 15 Jun – Kemajuan dan kualiti pendidikan agama Islam sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Negeri Melaka, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ab Rauf Yusoh berkata, pendidikan agama umpama pelaburan yang menjamin kelangsungan dan ketamadunan bangsa, negeri serta negara pada masa hadapan.

Katanya, sebaik memikul tanggungjawab sebagai Ketua Menteri 31 Mac lalu, antara perkara yang diberikan keutamaan ialah membabitkan kebajikan guru agama Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim).

Justeru, katanya, bagi menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru Jaim, Kerajaan Negeri meluluskan Cadangan Pelantikan Guru Kafa bagi Sekolah Rendah Agama (SRA) Jaim secara kontrak khas selain penyelarasan elaun perkhidmatan.

“Kesemua 1,422 guru SRA Jaim akan mendapat manfaat, dilantik secara kontrak khas Kerajaan Negeri berkuat kuasa 1 Januari 2023. Mereka juga akan menerima emolumen sekurang-kurangnya RM1,500 berdasarkan kadar gaji minimum ditetapkan Kerajaan Persekutuan.

“Selain itu 505 orang guru SRA Jaim lantikan selepas tahun 2016 akan menerima emolumen secara pukal RM1,500 sebulan, iaitu kenaikan bulanan RM500 berbanding RM1,000 sahaja sebelum ini

“Manakala, 917 orang guru SRA Jaim lantikan sebelum tahun 2016 akan menerima emolumen secara pukal mengikut emolumen akhir yang diterima pada tahun 2023 sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Jaim Peringkat Negeri Melaka Tahun 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Timbalannya Rosli Abdullah; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan dan Timbalannya Mohd Noor Helmy Abd Halem; Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil serta Pengarah Jaim Datuk Che Sukri Che Mat.

Menurutnya, selain guru Kafa SRA Jaim, turut menerima tempias ialah 375 guru Tadika Jaim yang diluluskan kontrak khas melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.262 juta serta penyelarasan elaun perkhidmatan.

Jelasnya, seramai 314 Guru Tadika Jaim lantikan sebelum tahun 2016 akan menerima imbuhan secara pukal mengikut gaji akhir diterima pada 2023, manakala, 61 pekerja sambilan harian dimansuhkan selepas lantikan secara kontrak khas dilaksanakan dengan bayaran imbuhan secara pukal sebanyak RM1,500 sebulan.

“Saya amat berharap semua guru-guru SRA Jaim dan guru tadika Jaim terus memberikan perkhidmatan cemerlang, mendidik para pelajar Islam Negeri Melaka menjadi insan yang berguna kepada bangsa, agama serta negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2649
Kongsi :
Previous post Pendidikan agama Islam sentiasa diutamakan – KM
Next post JAIM tegas tangani ajaran sesat – Exco
Ubah saiz-+=