JAIM tegas tangani ajaran sesat – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 15 Jun – Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) dengan bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) sedang mengesan pengasas ajaran sesat bertapak di Jasin dipercayai sudah melarikan diri ke New Zealand.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, Jaim kini sedang mengesan pengasas minuman kesihatan, Suhaini Muhammad, susulan penahanan individu dipercayai pengikutnya di Jasin.

Katanya, difahamkan kira-kira 20 individu terpengaruh dengan ajaran itu bertapak di negeri ini sejak tahun lalu.

Rahmad berkata, Jaim membuka kertas siasatan susulan video dua lelaki yang mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad S.A.W apabila mendakwa baginda sebagai tuhan yang tular di media sosial 20 Mac lalu.

“Tangkapan dilakukan 11 Jun lalu, ada pengikut setia iaitu lelaki 38 tahun sanggup berhenti kerja mahu berhijrah ke New Zealand semata-mata untuk bersama pengasas ajaran ini.

“Lelaki tersebut dijadual berlepas ke New Zealand bersama isteri dan tiga anak pada 13 Jun lalu, dipercayai ada juga pengikut ajaran ini yang sudah berada di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Guru Jaim Peringkat Negeri Melaka 2023 di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, kumpulan berkenaan dipercayai turut menyebarkan ajaran kepada pengikut di Johor.

“Pengasasnya menggunakan perniagaan air sebagai alat untuk menyebarkan ajaran. Kita menasihatkan pengikut ajaran ini segera bertaubat dan berhenti daripada menyebarkan ajaran sesat ini.

“Kita memberi amaran keras kepada mereka yang masih berdegil, tindakan undang-undang akan diambil malah fatwa Melaka memutuskan fahaman yang dibawa ini adalah sesat dan menyelewang daripada ajaran Islam berdasarkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

10365
Kongsi :
Previous post Pendidikan Islam jadi keutamaan – KM
Next post Terima kasih Ustazah Norlida
Ubah saiz-+=