Penduduk DUN Asahan bakal nikmati akses internet lebih pantas – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

ASAHAN 2 Julai – Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan bakal menikmati perkhidmatan jalur lebar lebih pantas dengan pembinaan dua menara telekomunikasi baharu.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan berkata, setakat ini sebuah menara telekomunikasi baharu telah dibina di Kampung Gapis.

Katanya, mengikut perancangan sebuah lagi menara telekomunikasi akan dibina di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Asahan.

“Kita memang mendapat aduan bahawa rangkaian internet kawasan ini perlahan, jadi saya sudah maklumkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Melaka ICT Holding Sdn. Bhd. (MICTH) untuk membuat kajian bagi menyelesaikan masalah ini.

“Insya-Allah Julai nanti akan ada satu lagi menara telekomunikasi baharu di DUN Asahan. Cuma kita sedang menunggu kelulusan daripada pihak terlibat, sudah pasti usaha ini juga dapat memanfaatkan masyarakat Orang Asli,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Sinar Zulhijjah Ibadah Korban bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Gapam Baharu, di sini, hari ini.

Program dirasmikan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, hadir sama Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Wira Md Rawi Mahmud.

Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berharap Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dapat menyalurkan peruntukan bagi membaik pulih rumah-rumah masyarakat Orang Asli di DUN itu.

“Setiap kali perayaan kecuali Deepavali memang kita ada berikan sumbangan makanan dan duit raya, cumanya kita harap JAKOA dapat salur peruntukan untuk baiki rumah Orang Asli.

“Sekitar DUN asahan kita ada empat perkampungan Orang Asli melibatkan hampir 160 Ketua Isi Rumah (KIR), bagaimanapun bagi masyarakat Orang Asli beragama Islam, MAIM akan sentiasa membantu mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1187
Kongsi :
Previous post Melaka anjur perlumbaan perahu naga antarabangsa sempena TMM2024
Next post 30 pasukan seluruh negara sertai Perlumbaan Perahu Naga
Ubah saiz-+=