Penduduk harap pemaju bertimbang rasa

Share and Enjoy !

Shares

KLEBANG 11 Julai – Penduduk Kampung Pokok Manggis, di sini merayu agar pemaju perumahan baharu di kawasan ini menyediakan jalan penghubung antara kampung dengan kawasan perumahan mewah tersebut.

Seorang penduduk, Md Sham Md Saino, 49 berkata, jalan baharu itu amat penting memandangkan selama ini penduduk perlu melalui jalan yang jauh untuk keluar masuk.

Ujarnya, dengan adanya pembangunan baharu, diharap adanya sifat timbang rasa oleh pemaju untuk berkongsi nikmat pembangunan dengan orang kampung dan memberikan situasi menang-menang kepada semua.

Nada sama turut disuarakan seorang lagi penduduk, Julia Abu Hassan, yang menyifatkan dengan adanya jalan baharu itu ia akan memudahkan masyarakat setempat menyelamatkan diri, jika berlakunya kes kecemasan seperti kebakaran, kemalangan dan sebagainya.

“Sebelum ini memang sukar bila berlaku kes kecemasan di kampung, disebabkan perlu melalui jalan yang jauh dan kecil.

“Jadi kita memang berharap sangat pemaju perumahan baharu ini dapat membuatkan jalan untuk memudahkan semua penduduk di sini,” katanya.

Mendengar rungutan tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Klebang Besar, Datuk Mohd Yusof Abu Hasan tampil mengadakan rundingan bersama pemaju dan penduduk kampung untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Jelasnya, melalui rundingan yang berlangsung itu, pihak pemaju telah memberikan respon positif untuk menyediakan satu jalan penghubung di antara kampung dengan kawasan perumahan berkenaan selepas mendapat kelulusan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

“Pertemuan ini bukan sebab kita nak halang pembangunan. Cuma kita nak adanya manfaat kepada penduduk kampung daripada pembangunan tersebut.

“Kawasan perumahan baharu ini bukan diwartakan sebagai perumahan tertutup (gated). Jadi, mengapa perlunya pemaju mengepung kawasan ini seolah-olah membezakan darjat dan menjadi pemisah kepada penduduk di kawasan berkenaan?

“Tapi, Alhamdulillah, pertemuan hari ini menampakkan sesuatu yang positif apabila pemaju memberi jaminan sedia membuka jalan seluas 40 kaki untuk memudahkan akses penduduk kampung dengan kawasan perumahan ini.

“Bagi saya, inilah nikmat pembangunan yang diterima jika adanya tolak ansur.

“Terima kasih diucapkan kepada pemaju dan pihak MBMB yang akhirnya dapat memberikan manfaat kepada kira-kira 500 penduduk kampung di kawasan ini,” ujarnya.

Views:

1

Share and Enjoy !

Shares
Previous post Sulaiman lihat proses pembuatan belacan Melaka
Next post Segerakan projek pengindahan Sungai Melaka Parcel 2