Penempatan warga asing dikhuatiri lonjak kes COVID-19 di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

ALOR GAJAH 9 Jun – Penempatan pekerja asing yang tidak sistematik termasuk menempatkan pekerja lebih daripada satu kilang di kawasan sama, dikhuatiri mampu melonjakkan jangkitan COVID-19 membabitkan sektor industri di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, disebabkan risiko itu, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka bersama-sama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Melaka Invest sedang giat membuat pemantauan rapi dalam usaha memastikan risiko jangkitan dapat dikawal.

Jelasnya, antara langkah yang akan diambil termasuklah membuat pengasingan pekerja dengan mewujudkan satu penempatan baharu yang boleh mengawal jangkitan daripada terus merebak.

“Kita telah kenal pasti bahawa ada tempat tinggal pekerja kilang warga asing ini ditempatkan di satu kawasan bercampur yang turut menempatkan pekerja dari dua atau tiga kilang yang lain.

“Kesemua mereka ini tinggal berdekatan dan mungkin ada yang tidak mematuhi aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) hingga menjadikan punca jangkitan lebih mudah merebak.

“Apapun, kita akan segera memikirkan cara terbaik untuk mengatasi masalah ini dengan memastikan pekerja dari beberapa kilang tidak lagi bercampur, termasuklah dengan meminta majikan mewujudkan satu penempatan baharu atau apa jua cara lain yang boleh mengawal jangkitan daripada merebak ke kawasan lain,” katanya yang ditemui Melaka Hari Ini selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin Alor Gajah.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, semua pekerja warga asing yang disahkan positif COVID-19 negeri ini telah ditempatkan di sebuah hotel di negeri ini yang dijadikan sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) swasta pertama di Melaka.

Jelasnya, kesemua perbelanjaan membabitkan pekerja warga asing di PKRC swasta itu akan ditanggung oleh majikan.

“Selain hotel (PKRC swasta), majikan juga boleh menempatkan pekerja mereka di PKRC negeri lain seperti di Johor dan Negeri Sembilan yang turut menawarkan penempatan kuarantin untuk pekerja-pekerja warga asing ini,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

475
Kongsi :
Previous post PPV pandu lalu pertama di Melaka dibuka bulan ini
Next post 10 atlet senarai menunggu dijangka layak ke Sukan Paralimpik Tokyo
Ubah saiz-+=