Pengakap Malaysia tukar uniform selepas 115 tahun

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

TANJUNG BIDARA 22 Oktober – Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) bercadang untuk menyelaraskan dan menukar uniform rasminya secara berperingkat bermula 2024.

Naib Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara, Datuk Zamani Tambichek berkata, pihaknya sebulat suara mahu hasrat itu dilaksanakan kerana PPM belum pernah menukar uniform rasmi secara seragam selepas penubuhannya di Malaysia sejak 115 tahun lalu.

“Uniform pengakap ini telah dipakaikan dengan warna yang sama saja sejak ditubuhkan di Malaysia, cuma dahulu hanya berseluar pendek kemudian ditukarkan kepada seluar panjang, itu sahaja selepas 115 tahun.

“Jadi selepas tempoh ini kita berhasrat untuk menukar rekaan uniform, maksudnya kita mahu ada rekaan yang baharu, warna yang baharu, lebih efektif dan menarik.

“Kita mencadangkan pemakaian uniform baharu ini akan diseragamkan mulai 1 Januari. Dijangkakan ia akan dilancarkan Perdana Menteri pada Disember ini, bersempena sambutan ulangtahun PPM yang ke-115 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Jota-Joti 2023 di Kem Pengakap Datuk Tambichik Karim di Pantai Padang Kemunting, Pengkalan Balak, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Melaka, Ibrahim Md. Nor.

Zamani berkata, penukaran uniform baharu relevan dengan tempoh penubuhan PPM bagi memastikan persatuan itu mampu berdaya saing ke hadapan seiring dengan kewujudan badan-badan beruniform lain di negara ini.

Katanya, tempoh lebih setahun telah diambil pihaknya bagi menjalankan kajian dan mengenal pasti rekaan uniform terbabit sebelum ini.

“Seperti kita lihat uniform polis, tentera dan sebagainya sudah hampir tiga kali bertukar. Tetapi PPM masih lagi menggunakan rekaan yang sama jadi hasrat kami adalah mentransformasikan PPM ke arah yang lebih maju, ia wajar pada masa ini.

“Penukaran ini akan dilihat daripada semua aspek termasuklah skaf yang menjadi lambang kepada Pengakap di seluruh dunia. Kita akan ubah rekaannya disebabkan skaf di Malaysia hampir sama dengan negara United Kingdom (UK).

“Perkara ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan masih memberikan kelonggaran agar tidak terlalu mendadak khususnya kepada anak-anak sekolah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7923
Kongsi :
Previous post Dua pelajar ditahan bantu siasatan miliki video rakan mandi
Next post Bapa, teman wanita mengaku bersalah abai kanak-kanak tujuh tahun
Ubah saiz-+=