Penganggur jangan memilih kerja

Masa Membaca:2 Minit, 37 Saat

Jasin 20 Mac – Mereka yang masih menganggur dinasihatkan supaya tidak terlalu memilih pekerjaan memandangkan pelbagai peluang dan insentif disediakan oleh pihak kerajaan untuk membantu mereka memperoleh pekerjaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Wira Ar. Ismail Othman berkata, alasan golongan itu bahawa tiada pekerjaan yang sesuai untuk mereka adalah tidak wajar kerana banyak peluang pekerjaan dan skil diri disediakan termasuk melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

MOHAMMED AZMAN menerangkan sesuatu kepada Ismail pada Mini Karnival Kerjaya 2021 anjuran PERKESO di Pasaraya Mydin Jasin.

Menurutnya, antara insentif pekerjaan disediakan seperti MyFutureJobs, Hiring Incentive, Penjana Kerjaya dan pelbagai siri karnival pekerjaan yang menawarkan lebih sejuta kekosongan jawatan di seluruh negara daripada 55,811 majikan yang terlibat program MyFutureJobs sahaja.

“Saya harap mereka yang masih belum mempunyai pekerjaan janganlah terlalu memilih mengikut kelulusan akademik mereka, malah lepasan SPM tidak terkecuali juga kerana banyak agensi yang menawarkan skil diri mengikut minat serta kebolehan mereka.

“Masalah pertambahan pengangguran di negara ini dapat diatasi sekiranya pencari kerja sendiri dan masyarakat berganding bahu membantu sama lain kerana kerajaan sudah berusaha menyediakan kemudahan yang sepatutnya untuk mereka,” katanya kepada media selepas merasmikan Mini Karnival Kerjaya 2021 anjuran PERKESO yang turut diserta Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed.

PETUGAS Perkeso menerangkan sesuatu kepada Ismail mengenai Mini Karnival Kerjaya 2021 anjuran PERKESO.

Sembilan majikan menyertai program itu menyediakan lebih 400 kekosongan pelbagai jawatan dan walaupun baharu dua jam program berlangsung sudah 60 orang daripada 160 yang hadir sudah ditawarkan pekerjaan.

Antara majikan terbabit ialah Mydin Mohamed Holdings Berhad, Sime Darby Plantation, Mega Printing, United Malacca Berhad, MFS Tecnology dan Kellys Services.

Sehubungan itu menurut Ismail, pihaknya sudah mengarahkan kumpulan penggerak masyarakat seperti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan pertubuhan bukan kerajaan di semua kawasan mengenal pasti anggota masyarakatnya yang menganggur dan membantu mereka mendapatkan pekerjaan.

Ujarnya, ia bagi memastikan golongan tersebut mengetahui peluang dan insentif pekerjaan yang disediakan untuk mereka sekali gus kemudahan dapat dimanfaatkan sewajarnya demi memastikan Melaka mencapai matlamat negeri sifar pengangguran.

Kata beliau, pada ketika ini kira-kira 15,000 rakyat negeri ini sedang mencari pekerjaan dan terdapat lebih 30,000 peluang pekerjaan telah tersedia untuk mereka.

“Bagi menampung permintaan itu, kerajaan negeri sendiri dengan kerjasama agensi kerajaan berkaitan akan menganjurkan Karnival Pekerjaan bulan depan membabitkan daerah Jasin, Alor Gajah dan Melaka Tengah dan lebih ramai majikan menjayakan program tersebut,” katanya.

Sementara itu menurut Dr. Mohammed Azman, setakat Januari hingga pertengahan Mac lalu, seramai 18,074 yang hilang pekerjaan dengan jumlah pampasan PERKESO RM90.45 juta manakala Melaka mencatatkan 591 orang berjumlah RM2.52 juta.

“Kita dapati ada peningkatan sedikit dalam kalangan mereka yang hilang pekerjaan berbanding tempoh yang sama tahun lalu namun kita yakin jumlah ini akan berkurangan memandangkan pelbagai insentif peluang kerja dan elaun disediakan bagi membantu mereka mendapatkan pekerjaan semula,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, seramai 653,304 orang pencari kerja di seluruh negara dan lebih sejuta kekosongan jawatan disediakan oleh 55,811 majikan berdaftar dengan program MyFutureJobs PERKESO.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1987
Kongsi :
Previous post 389,177 individu sudah terima dos pertama vaksin COVID-19
Next post Warga emas maut selepas 10 jam bertarung nyawa
Ubah saiz-+=